Budak belanja RM800 ubah suai basikal lajak
JITRA: Seorang pelajar membelanjakan RM800 wang yang diberi bapanya untuk mengubahsuai basikal miliknya menjadi basikal lajak untuk ke sekolah.
Bagaimanapun, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah di sini, ditahan bersama enam lagi pelajar lain berusia 13 hingga 15 tahun dalam operasi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata operasi selama dua jam bermula jam 1.30 petang tadi dilakukan ketika operasi mengesan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan di pekan Jitra, di sini.
Katanya, anggotanya menahan tujuh pelajar terbabit bersama basikal masing-masing untuk tindakan lanjut sebelum memanggil ibu bapa mereka.
"Kita memberi amaran kepada mereka selain memanggil ibu bapa masing-masing untuk mengambil anak mereka selain menasihati pelajar terbabit mengenai bahaya menggunakan basikal lajak ini.
"Saya percaya ramai lagi pelajar menggunakan basikal lajak ini kerana ia menjadi 'trend' semasa," katanya ketika ditemui di IPD Kubang Pasu, di sini hari ini.
Mohd Ismail berkata, siasatan juga mendapati ada ibu bapa yang sanggup mengeluarkan wang untuk membenarkan anak mereka mengubahsuai basikal tetapi tidak sedar bahaya yang akan dihadapi.
"Kita berharap ibu bapa memberi perhatian untuk memastikan anak mereka tidak terjebak dengan penggunaan basikal lajak ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment