Bekas pegawai kanan, rakan ditahan kes rasuah
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Pegawai Tadbir Kanan International Council for Scientific Union Regional Office for Asia Pacific (ICSU-ROAP) yang beroperasi di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM) berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana.
Siasatan SPRM itu membabitkan penyelewengan dana ASM sehingga mencecah RM3 juta antara antara tahun 2012 hingga 2017.
Sumber berkata, bekas pegawai berusia 44 tahun itu dipercayai memalsukan tandatangan untuk mendapatkan kelulusan ASM bagi menjalankan program anjuran ICSU-ROAP yang diuruskan olehnya.
Difahamkan, suspek yang dilantik secara kontrak sejak tahun 2008 itu bersubahat dengan rakannya iaitu seorang awam bagi menyeleweng dana.
Rakannya yang berusia 57 tahun turut ditahan bersama suspek di sebuah kondominium di ibu negara dalam operasi pada jam 10 pagi tadi.
"Siasatan awal juga mendapati rakannya itu menyamar sebagai ahli sains dengan menggunakan gelaran sebagai seorang profesor dari sebuah universiti tempatan yang kononnya mewakili negara ke program yang diadakan di luar negara anjuran ICSU-ROAP.
"Difahamkan, bekas pegawai kanan itu sememangnya bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan kewangan ICSU-ROAP.
"Suspek juga dipercayai memalsukan tandatangan pegawai atasannya di dokumen tuntutan bagi pelaksanaan program itu," katanya.
Sumber itu berkata pegawai itu turut disyaki menyeleweng wang dana berkaitan pelaksanaan 73 program dalam dan luar negara yang dianjurkan oleh ICSU-ROAP.
"Suspek didapati mengemukakan invois, bil hotel, tiket penerbangan dan dokumen lain yang disyaki palsu bagi menyokong perbelanjaan program sedangkan ada setengah perbelanjaan tidak wujud dan ia bertujuan mendapatkan semula duit itu dengan menyalurkan ke akaun peribadi beliau," katanya.
Selain itu, suspek juga didapati mengada-adakan kewujudan seorang akauntan ASM palsu kononnya untuk membenarkan bayaran lebihan seperti hotel dan tiket penerbangan itu dikembalikan dan dimasukkan ke akaun peribadinya.
BH difahamkan, dana untuk ICSU-ROAP disalurkan daripada ICSU-Paris sebanyak Euro 75 juta (RM361 juta) dan RM1 juta dana Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) kepada ASM setiap tahun.
Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Katanya kes kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek dijangka direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment