Bayi derita saluran pernafasan tertutup
BATU PAHAT - âSejak lahir, inilah keadaannya. Doktor sahkan dia alami kesukaran untuk bernafas dan terpaksa bergantung alat bantuan pernafasan untuk terus hidup,â kata Juliana Mohd Safuan, 35.
Anaknya, Qaireen Aryana Armeen, 1, mengalami masalah saluran pernafasan tidak normal dan tertutup, selain paru-paru kirinya gagal berfungsi dengan baik.
Menurut Juliana, anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak boleh ditinggalkan dan perlu penjagaan yang rapi, memaksa mereka sekeluarga bergilir-gilir memantau kesihatannya setiap hari.
Katanya, doktor terpaksa menebuk saluran pernafasan khas di leher anaknya untuk bernafas dengan alat bantuan, selain pinggang turut ditebuk untuk membuang air.
âKami sekeluarga juga perlu ke Hospital Serdang, Selangor setiap bulan untuk pemeriksaan Qaireen dan juga alat pernafasan yang digunakannya, sama ada ia berfungsi dengan baik atau tidak.
âSelain itu, kami juga perlu ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk pemeriksaan rutin pada setiap minggu,â katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Industri Sri Sulong, semalam.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad sempena program Menyusur Akar.
Program anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal dan Hospital Pakar Putra Batu Pahat.
Juliana berkata, anaknya hanya boleh minum susu khas yang harganya agak tinggi.
âItu belum lagi kos-kos lain termasuk ulang-alik ke hospital. Memang banyak guna duit.
âSaya cuma harap anak saya ini sembuh dan dapat membesar seperti kanak-kanak normal lain,â katanya.
Sementara itu, Noraini berkata, pihaknya akan berurusan dengan JKM dan Baitulmal untuk melihat bantuan yang boleh disalurkan.
Katanya, melalui semakan awal setakat ini masih belum ada rekod keluarga itu menerima bantuan.
âKami akan usaha untuk mendapatkan maklumat terperinci berkaitan rekod permohonan atau bantuan yang ada dan sekiranya keluarga ini layak mendapatkan bantuan, kita akan panjangkannya kepada agensi berkaitan,â katanya.
Orang ramai yang mahu mengetahui lebih lanjut keadaan Qaireen Aryana atau ingin membantu boleh berhubung dengan ketua masyarakat kawasan berkenaan, Md Said Kamuri di talian 012-7521 789.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment