Banjir jejas 21 sekolah

Tuesday, January 2, 2018

Banjir jejas 21 sekolah

Banjir jejas 21 sekolah

SEREMBAN: Sebanyak 21 sekolah membabitkan 2,834 murid dan pelajar, ditutup hari ini berikutan banjir di negeri terbabit.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata 11 sekolah ditutup di Pahang, satu di Johor dan masing-masing tiga sekolah di Kelantan, Sarawak dan Terengganu.

Katanya, semua sekolah itu ditutup sementara sehingga banjir pulih dan tidak lagi menjejaskan keselamatan guru, murid serta kakitangan sekolah.

"Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) bagi memantau perkembangan banjir.

"Jika perlu, kita akan menggantikan semula hari bersekolah bagi yang ditutup kerana banjir," katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Cairo, Mantin di sini, hari ini.

Bangunan baharu sekolah itu dibina dengan kos RM2.03 juta dan bakal menerima peruntukan tambahan RM150,000 bulan depan bagi membaik pulih infrastruktur.

Kamalanathan meminta ibu bapa yang terbabit dengan banjir sentiasa peka dengan keadaan semasa dan tidak mempercayai maklumat tidak sahih di media sosial.

Katanya, ibu bapa boleh menghubungi pihak sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing bagi menentukan kesahihan maklumat.

"Jangan ambil maklumat kurang tepat, sebaliknya dapatkan pengesahan pihak sepatutnya terlebih dulu," katanya.

Beliau berkata, hari pertama persekolahan di beberapa negeri termasuk yang terbabit banjir masih terkawal.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment