Banduan ditambah hukuman penjara, sebat
KUALA TERENGGANU: Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku salah menipu pembelian rumah Flet Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Hiliran di sini, pada 2015.
Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas Wong Chin Chok, 43, dari Kuantan, Pahang, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mengikut pertuduhan, Chin Chok didakwa memperdaya Gan Tong Seng, 60, kononnya akan menguruskan proses mendapat rumah flet PPR di Padang Hiliran di sini, hingga mendorong mangsa menyerahkan RM3,000 sebagai wang proses di sebuah blok Flet Bukit Kecil, di sini pada 11 Ogos 2015.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, mangsa bertemu tertuduh sebelum dimaklumkan mengenali orang tengah yang boleh menguruskan bagi mendapatkan rumah flet PPR di Padang Hiliran, di sini, pada Ogos 2015.
Bagaimanapun, mangsa diminta menyerahkan sejumlah wang sebagai upah kepada orang tengah sebelum membuat pembayaran tunai RM3,000 kepada tertuduh pada 11 Ogos 2015.
Mangsa dijanjikan memperoleh rumah itu pada Jun 2016 selepas mendapat kelulusan pihak berkenaan, tetapi tidak mendapatnya seperti dijanjikan.
Mangsa cuba menghubungi tertuduh untuk mendapatkan penjelasan, namun pelbagai alasan diberi sebelum laporan polis dibuat selepas berasa dirinya ditipu.
Mei tahun lalu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 13 bulan dan enam sebatan di mahkamah sama atas enam pertuduhan terdahulu menipu pembelian rumah PPR Padang Hiliran di sini.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment