379 murid di Sarawak cuti akibat banjir hari ini

Monday, January 15, 2018

379 murid di Sarawak cuti akibat banjir hari ini

379 murid di Sarawak cuti akibat banjir hari ini

KUCHING: Lima sekolah rendah yang mempunyai 379 murid terpaksa ditutup bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan paras air mencapai tahap membimbangkan kerana hujan lebat di beberapa kawasan pedalaman negeri ini, terutama yang terletak berhampiran sungai.

Ia membabitkan dua sekolah di Baram iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bong yang mempunyai 121 murid dan SK Kuala Bok yang dengan 62 murid.

Turut ditutup SK Nanga Bon di Sibu yang mempunyai 64 murid, SK Kuala Kenyana di Mukah (40 murid) dan SK Rumah Ranggong di Subis dengan 92 murid.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata antara sebab utama penutupan ialah bangunan dan jalan masuk ke sekolah ditenggelami air.

Beliau berkata, sembilan lagi sekolah turut terjejas apabila banjir melanda kawasan sekitarnya, namun masih dibenarkan beroperasi hari ini dengan pemantauan dijalankan untuk memastikan paras air tidak membahayakan murid dan guru.

Sekolah yang terjejas itu ialah SK Sungai Manong di Subis, SK Sungai Kelabit dan SK Sungai Seputi di Miri, SK PengarahEnteri, SK Sungai Peking dan SK Long Teru di Baram, SK Sungai Anak, SK Sungai Buloh dan SK Iban Union di Selangau.

Sementara itu, bacaan paras air di 10 stesen telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri ini menunjukkan bacaan agak baik apabila tiada yang merekodkan paras air naik pagi ini.

Lima daripada stesen terbabit mencatatkan bacaan mendatar iaitu stesen Muput dan Kuala Binyo di Bintulu, Kuala Tutong, Long Jegan dan Batu Niah Bazaar di Miri.

Lima stesen lagi mencatatkan penurunan iaitu Rumah Abua dan Long Panai di Miri, Asajaya Water Intake di Kota Samarahan, Jalan Bintulu - Belaga di Bintulu dan Ukong di Limbang.

"Pemantauan berterusan dijalankan walaupun ramalan Jabatan Meteorologi mendapati tiada hujan berlaku di negeri ini hari ini kecuali dua kawasan di wilayah tengah iaitu Sibu dan Sarikei," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment