3 pasangan kembar curi tumpuan

Monday, January 1, 2018

3 pasangan kembar curi tumpuan

3 pasangan kembar curi tumpuan

IPOH: Tiga pasangan kembar seiras antara yang mencuri tumpuan pada hari pertama persekolahan murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Silibin, di sini, hari ini.

Pasangan kembar Mohamad Syits Daniel Shamsuri, 7, serta adik, Mohamad Syits Danish; pasangan Muhammad Farish Zafran Mohamed Firdaus, dan abangnya Muhammad Farish Zafril serta pasangan kembar A Yasheca serta A Yashela datang dengan wajah ceria ditemani ibu serta bapa masing-masing walaupun ditempatkan di kelas yang berbeza.

Bapa kepada Muhammad Farish Zafril dan Muhammad Farish Zafran, Mohamed Firdaus Abdullah, 33, berkata kedua-dua anaknya itu begitu bersemangat untuk ke sekolah walaupun mereka sebelum ini tidak menjalani pra-sekolah di sekolah berkenaan berbeza dengan dua lagi pasangan kembar.

"Seminggu sebelum bersekolah lagi mereka berdua asyik bertanya bila sekolah bermula dan sudah beberapa kali memperagakan dan mencuba pakaian seragam sekolah yang baharu dibeli," katanya yang ditemui di sini.

Sementara itu, bapa Mohamad Syits Daniel dan Mohamad Syits Danish, Shamsuri Saad, 37, pula berkata biarpun kedua-dua anaknya itu sudah terbiasa dengan suasana sekolah berkenaan kerana menjalani kelas pra-sekolah di situ, namun anaknya agak sedih apabila ditempatkan di kelas yang berbeza.

"Mungkin mereka sudah terbiasa bersama hinggakan mahukan barangan sekolah juga yang serupa, jadi bila kelas terpisah mereka jadi sedih," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Silibin, Badrul Hisham Yusoff, berkata seramai 93 murid Tahun Satu mendaftar di sekolah berkenaan tahun ini yang menjadikan jumlah keseluruhan murid di sekolah berkenaan serama 512 orang.

Katanya, ketiga-tiga pasangan kembar berkenaan hanya akan disatukan semula dengan pasangan kembar masing-masing ke kelas yang sama sekiranya langkah pengasingan itu mengganggu proses pembelajaran.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, tiada masalah timbul apabila ketiga-tiga pasangan kembar berkenaan diasingkan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment