11 dakwa rugi RM2.37 juta ditipu 'Datuk Nomi'
SUNGAI BULOH: Polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai 'Datuk Nomi' bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes penipuan pembelian kenderaan dan telefon bimbit membabitkan kerugian RM2.37 juta.
Ini susulan sebelas laporan polis yang diterima polis daerah Sungai Buloh daripada 11 individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan 'Datuk' berkenaan, semalam.
Difahamkan, modus operandi suspek adalah dengan menyamar sebagai seorang 'big bikers' atau penunggang motosikal berkuasa tinggi dan menyasarkan golongan itu sebagai mangsanya.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu, berkata setakat semalam, pihaknya menerima dua laporan di Balai Polis Sungai Buloh dan sembilan di Balai Polis Saujana Utama terhadap suspek.
"Suspek dipercayai menggunakan modus operandi yang sama terhadap kesemua mangsa.
"Suspek berkenalan dengan kesemua mangsa melalui kumpulan 'big biker' yang disertainya dan menawarkan pembelian pelbagai jenis motosikal, kereta dan telefon bimbit dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran kepada yang berminat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kebanyakan mangsa tertarik dengan tawaran suspek kerana ada di antara mangsa bercadang menjual semula kenderaan dan telefon bimbit itu dengan harga lebih tinggi bagi mendapat pulangan.
"Bagaimanapun, selepas mangsa membuat bayaran seperti yang diarahkan suspek, barangan itu tidak diterima dalam masa yang dijanjikan.
"Difahamkan suspek juga melakukan jenayah ini di beberapa negeri di seluruh Malaysia, siasatan masih diteruskan," kata Somu.
Sementara itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Kamil, 30an, berkata beliau paling terkesan dengan penipuan Datuk Nomi kerana akaun bank miliknya digunakan suspek berusia 46 tahun itu bagi transaksi kewangan dalam urusan jual beli berkenaan.
"Semua pembeli akan memasukkan wang pembayaran dalam akaun bank saya dan sejak lebih setahun lalu, dianggarkan RM7 juta sudah diserahkan kepadanya (Datuk Nomi).
"Ini memandangkan dia mahu wang berkenaan terus diserahkan kepadanya sebaik saja pelanggan atau ejen membuat pembayaran," katanya.
Kamil mendakwa dia dan pembeli lain sebelum ini pernah beberapa kali berurus niaga dengan lelaki terbabit dan semua pembelian berjalan lancar menyebabkan mereka mempercayai suspek.
Dia turut mendakwa tertekan kerana turut mengalami kerugian ratusan ribu ringgit selepas membeli pelbagai kenderaan dengan 'Datuk' berkenaan.
Seorang lagi mangsa yang enggan dikenali berkata, dia kerugian kira-kira RM500,000 dengan pembelian enam buah kereta, empat motosikal berkuasa tinggi dan enam telefon bimbit jenamaĆ iPhone.
"Antara kereta yang saya tempah adalah Honda, Nissan dan Toyota dan kesemua ini berjumlah lebih daripada setengah juta.
"Saya tertekan kerana kenderaan dan iPhone itu semua sudah ada pembeli dan mereka sudah membuat pembayaran, saya terpaksa membayar balik wang mereka menyebabkan saya mengalami kerugian," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment