Usahawan kek lapis lega sifar GST

Sunday, June 3, 2018

Usahawan kek lapis lega sifar GST

Usahawan kek lapis lega sifar GST

SIBU: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar, berkuat kuasa 1 Jun lalu memberi khabar gembira kepada usahawan kek lapis Sarawak, terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

Bagi seorang usahawan, Hanisah Hussin, 33, keputusan berkenaan banyak membantu menstabilkan harga barangan di pasaran, terutama bahan mentah bagi menghasilkan kek berkenaan.

Katanya, beliau membelanjakan purata RM1,000 sehari bagi menampung kos pembelian bahan mentah bagi membuat kek berkenaan, khusus untuk dijual di bazar Ramadan, selain memenuhi tempahan pelanggan.

"Berdasarkan pemerhatian, harga bahan mentah seperti tepung, gula, mentega dan produk tenusu mengalami penurunan ketara sejak sifar GST, malah perkembangan itu cukup melegakan.

"Namun, harga beberapa barangan seperti keju naik dari RM45 (dua kilogram) ke paras RM58. Kita faham bahan itu diimport dan tertakluk kepada nilai semasa ringgit, tetapi masih berharap harganya dapat distabilkan," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa konsisten memantau rapi harga barangan di pasaran bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan sehingga menjejaskan komuniti usahawan kecil dan sederhana (PKS) sepertinya.

"Jika harga barang dapat diturunkan tanpa ada pihak mengambil kesempatan, saya percaya kami sebagai penjual kek lapis juga dapat menurunkan harga kek lapis di pasaran.

"Ketika ini, harga pasaran Kek Lapis Sarawak bermula dari RM85 hingga RM150 untuk satu loyang.

"Harga kek bergantung kepada jenis bahan dan tahap kesukaran kek dihasilkan. Malah, faktor harga itu juga disebabkan penggunaan mentega berkualiti tinggi, bukannya majerin," katanya.

Hanisah berkata, beliau sehingga hari ini menerima tempahan lebih 100 Kek Lapis Sarawak pelbagai jenis daripada pelanggan di Sibu dan kawasan sekitarnya untuk keperluan Aidilfitri.

Gerai Kek Lapis Sarawak diusahakan suri rumah ini menjadi viral di laman sosial sejak 1 Ramadan lalu apabila menyediakan lebih 30 jenis kek lapis dan kuih tradisi untuk juadah berbuka puasa.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment