Songket Rajang `penyeri' Aidilfitri
TANJUNG MANIS: Songket sinonim dengan hasil seni Terengganu, namun tidak ramai tahu Sarawak turut memiliki Songket Rajang yang menjadi antara koleksi tenunan termahal di Malaysia.
Dengan harga mencecah RM10,000, Songket Rajang dihasilkan pakar tenunan tempatan yang mementingkan ketelitian tenunan yang sudah pasti menjadi antara tarikan utama peminatnya.
Menyedari potensi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) itu semakin berkembang, Pusat Tenunan Songket Rajang diwujudkan di Kampung Rajang, Belawai, kira-kira sejam perjalanan dari Sibu.
Pengerusi Pusat Tenunan Songket Rajang, Su'anah Sahaili, 62, berkata corak pada Songket Rajang bermotifkan keindahan warisan alam semula jadi Bumi Kenyalang.
Katanya, bagi memelihara nilai eksklusifnya, Songket Rajang akan dihasilkan berdasarkan tempahan dan tidak dihasilkan secara komersial seperti di Pantai Timur.
"Tidak hairan koleksi songket eksklusif ini sentiasa menjadi buruan golongan kenamaan termasuk pemimpin negara untuk digayakan ketika menghadiri majlis rasmi kerana keunikan dan kehalusan seni dimilikinya.
"Penenun Songket Rajang tidak menyangka aktiviti masa lapang golongan suri rumah di penempatan itu sebelum ini akhirnya berubah menjadi satu perusahaan bernilai tinggi yang turut menjadi suntikan pertumbuhan sosioekonomi setempat," katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, banyak faktor yang menyumbang kepada nilai tinggi koleksi fabrik ini terutama dalam konteks kualiti berikutan proses pembuatannya yang cukup rumit dan teliti.
Katanya, masa sehingga enam bulan diperlukan untuk menenun Songket Rajang bergantung rekaan corak diinginkan pelanggan yang sememangnya inginkan koleksi eksklusif selain ia menjadi penentu harga koleksi berkenaan.
"Jika menempah Songket Rajang mengikut corak dan motif tertentu, ia adalah koleksi yang hanya dipakai mereka yang menempahnya tanpa bimbang ia akan dipakai orang lain.
"Sudah pasti koleksi eksklusif ini akan terus segar dalam kalangan peminat songket kerana kehalusan seni yang dibuat menjadikan hasil seni ini menjadi koleksi sepanjang zaman," katanya.
Su'anah berkata, Songket Rajang mungkin akan semakin hilang dibawa arus kemodenan jika tiada anak muda berani menyahut cabaran menggalas tugas sebagai penenun songket sepenuh masa.
"Koleksi Songket Rajang perlu dipulihara untuk tatapan generasi akan datang. Ia adalah warisan kesenian dan kebudayaan yang melambangkan identiti masyarakat kita," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment