Saudara baharu, keluarga dirai
KUALA LUMPUR: Kira-kira 4,000 mualaf bersama keluarga diraikan Hidayah Centre Foundation dalam Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre 2018 yang diadakan secara serentak di seluruh negara.
Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah, berkata majlis diadakan bagi meraikan individu yang baru memeluk Islam, khususnya mereka yang pertama kali menjalani ibadat puasa.
Katanya, majlis yang dianjurkan buat kali ke-14 itu, adalah himpunan saudara baharu Islam yang terbesar seumpamanya di negara ini dan turut dihadiri ahli keluarga bukan Islam.
"Majlis ini untuk menyatakan mualaf tidak keseorangan dalam menjalani proses perubahan dalam hidup mereka.
"Ini juga adalah sebahagian daripada program dakwah bagi ahli keluarga mereka yang belum memeluk Islam, dengan menunjukkan keindahan Islam yang tidak memutuskan hubungan kekeluargaan walaupun berbeza agama.
"Sebagai organisasi yang mahu melihat negara harmoni, kami mengalu-alukan mereka yang bukan Islam untuk melihat sendiri bagaimana kita raikan saudara baharu dan bagaimana kita mengamalkan syiar Islam, seperti ibadat puasa ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre 2018 di sini, malam ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Hanifuddin Roslan.
Terdahulu, seramai 1,000 mualaf dan ahli keluarga hadir pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia di sini, untuk berbuka puasa serta menunaikan solat tarawih.
Dalam majlis itu, Hidayah Centre Foundation turut menyampaikan Anugerah Saudara Baharu Harapan kepada Muhammad Irfan Abdullah, 25, dan Anugerah Saudara Baharu Teladan kepada Ainul Mardhiah Palau, 29.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment