Perhebatkan kempen kesedaran: Exco

Thursday, June 14, 2018

Perhebatkan kempen kesedaran: Exco

Perhebatkan kempen kesedaran: Exco

TAIPING - Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) disaran meningkatkan lagi hebahan melalui kempen kesedaran atau menyertai sebarang program kemasyarakatan termasuk kampung ke kampung bagi menerangkan fungsi sebenar pertubuhan itu kepada umum berikutan masih ramai pekerja atau rakyat yang tidak tahu peranannya.

Exco Kerajaan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata,  sesi penerangan dan kempen sebegitu perlu diperbanyakkan bagi memastikan pekerja dan rakyat dapat mengetahui dan memanfaatkan pertubuhan itu sekiranya berlaku sebarang bencana ketika dalam tempoh bekerja.

Menurutnya sehingga kini masih ramai pekerja khususnya golongan bawahan termasuk pekerja persendirian tidak mengetahui tentang tuntutan-tuntutan insurans dan kelebihan-kelebihan lain pertubuhan terbabit.

“Sebagai contoh Perkeso Taiping pernah membayar pampasan berjumlah puluhan ribu ringgit kepada waris pencarum di Batu Kurau tahun lalu selepas lebih 20 tahun pencarum meninggal dunia.

“Dalam kes sebegini sebenarnya waris atau orang ramai tidak tahu secara menyeluruh akan fungsi sebenar Perkeso terutama dalam meringankan beban waris pencarum,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek Faedah Perkeso sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 kepada 15 penerima di Bilik Mesyuarat Perkeso Taiping, di sini semalam.

Abdul Yunus berkata, mungkin tahap kesedaran masih rendah dan mungkin tidak sampai kepada mereka.

“Justeru Perkeso perlu perhebatkan lagi hebahan melalui sosial media, media cetak dan program kemasyarakatan tempatan termasuklah di peringkat kampung,” katanya.

Hadir sama Pengurus Perkeso Taiping, Rafidah Abdul Rahim.

Tambah Abdul Yunus lagi, pihaknya turut menggesa majikan atau pemilik syarikat untuk segera mencarumkan setiap nama pekerja.

“Ia penting bagi membolehkan nasib pekerja lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diinginkan,” katanya.

Dalam pada itu, Rafidah berkata, sehingga Mei 2018, sebanyak 1, 487 kes diterima pihaknya manakala bayaran lebih RM3.8 juta disalur kepada 1,044 penerima membabitkan pelbagai kes terlibat.

“Selain itu, kita turut mengesan lima kes tuntutan palsu tahun ini dan duanya disahkan palsu manakala selebihnya masih dalam siasatan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment