Mahu kerajaan berintegriti, pembangkang berkredibiliti
SELEPAS lebih 30 hari PRU14 berlalu, gosip-gosip politik kian reda. Rakyat juga kian kurang kekok dengan suasana politik baru ini. Ramai di kalangan penyokong Pakatan Harapan menyatakan inilah kerajaan mereka, menggambarkan kononnya kerajaan yang selama ini memerintah adalah kerajaan pro-Melayu dan Bumiputera
Kerajaan Harapan, pimpinan bekas pemimpin BN, merombak beberapa kementerian dengan melantik ramai muka baru yang langsung tiada pengalaman pentadbiran peringkat tertinggi menjawat jawatan menteri kanan dalam kerajaan.
Di pihak BN pula, mereka buat pertama kalinya berperanan sebagai pembangkang. Telah ada yang lemah semangat dan mula berjinak-jinak untuk berhijrah menyertai Harapan atau berdamping dengan mereka. Itulah dia budaya politik di Malaysia, ada kala ahli politik yang anjal dan ada kala institusi politik yang menjadi anjal. Belum dapat dibayangkan senario sidang parlimen pertama selepas ini dengan kedua-dua belah pihak pastinya kekok memulakan sidang itu. Usah khuatir, mereka adalah ahli politik sekejap saja masa diambil untuk mereka membiasakan diri dengan suasana itu.
Apa yang membuatkan rakyat gusar ialah implikasi dari proses peralihan kuasa politik dari parti majmuk dikuasai dan diterajui Melayu dan Bumiputera kepada parti majmuk diterajui Melayu dan Bumiputera dikuasai bukan Melayu serta Bumiputera.
Satu persatu penjawat awam kanan dan penjawat korporat kanan digugurkan, diganti atau diberi isyarat untuk berundur. Jika pengunduran, penggantian atau pengguguran mereka kerana lantikan mereka dulu adalah lantikan politik, itu kami boleh terima. Akan tetapi semua ini berlaku ada kaitannya dengan isu integriti, kredibiliti dan amanah yang mereka pikul dari kacamata Kerajaan Harapan. Secara kebetulan pula kesemua mereka yang terlibat adalah dikalangan bangsa Melayu dan Bumiputera. Mungkin ia satu kebetulan.
Jika asas mereka berundur, diganti atau digugurkan berkait-rapat dengan isu integriti, kredibiliti dan amanah yang mereka pikul, maknanya selama ini wujud konflik d iantara isu-isu integriti, kredibiliti, amanah dengan aku janji mereka dalam memikul tanggungjawab itu.
Sebagai penganut agama Islam, maknanya amalan agama mereka telah gagal menjadikan mereka penjawat awam atau penjawat korporat seperti yang dituntut dalam Islam. Soalan adakah semua mereka yang berundur atau diundurkan itu terpalit dengan isu-isu itu.
Rasanya tidak semua, tetapi itulah hakikatnya. Tsunami tak kenal siapa, pantai berubah jua.
Bagi yang wajar diundurkan, bagaimana kita selama ini boleh terlepas pandang akan prestasi mereka sedangkan begitu banyak institusi Islam ditubuhkan dari sekolah, kolej hingga ke universiti dan ditambah pula beberapa institusi kemajuan Islam?
Tidakkah ada diantara institusi itu sepatutnya memantau prestasi mereka dari perspektif Islam. Tak mungkin kesemua institusi itu boleh membiarkan keruntuhan integriti, kredibiliti dan amanah para penjawat awam atau korporat itu berlaku depan mata mereka tanpa sebarang teguran atau pembetulan sepertimana yang dituntut dalam Islam. Banyak lagi persoalan yang berlegar dalam pemikiran kami terutamanya orang Melayu.
Persoalan itu terjawab. Secara jujurnya, integriti dan kredibiliti kebanyakan institusi Islam itu sendiri kini dipersoalkan. Selama ini banyak pihak termasuk Institusi Diraja turut menegur institusi-institusi ini tetapi dengan cara yang berselindung. Kini usahkan golongan bukan Islam, beberapa golongan dikalangan komuniti orang Islam itu sendiri juga banyak menyuarakan kebimbangan mereka secara terbuka.
Kita ketepikan beberapa suara sumbang yang agak liberal pemikirannya. Ada yang salah faham, ada juga yang memang begitu pemikirannya tetapi mungkin juga ada dikalangan mereka itu yang rimas melihat banyak sangat irregularities lantas mereka terdorong untuk berfikiran lebih liberal.
Perlu kita ingat dan terima hakikat, ramai juga dikalangan kita yang terdorong ke arah bertentangan menjadikan mereka ini terlalu radikal dan ekstrim. Jika tidak masakan begitu ramai anak-anak muda kita yang terjerat dalam pergerakan puak-puak ekstrim dan militan seperti Daesh dan seumpamanya.
Kejatuhan BN ibarat satu avalanche (runtuhan salji) maha dahsyat. Runtuh bersamanya kepimpinan institusi kerajaan dan korporat yang sekian lama diterajui bangsa Melayu dan Bumiputera. Avalanche itu pula menghempap dan turut meruntuhkan beberapa institusi Islam yang berperanan memajukan Islam.
Jangan semata-mata salahkan rakan-rakan kita dikalangan bukan Islam jika mereka berfikiran negatif terhadap semua institusi Islam yang kini hangat diperdebatkan. Banyak dari persepsi negatif itu juga berpunca dari tindak-tanduk kita sendiri sebagai orang Islam. Kita wajib berlapang dada menerima kritikan ini.
BN yang kini hampir kembali mirip ke wajah Parti Perikatan wajib memikul tanggungjawab terhadap trajedi avalanche ini. Kerananya banyak institusi Islam dirombak atau sebagainya. Kerananya ramai peneraju pentadbiran atau korporat terpaksa melepaskan jawatan masing-masing. Untuk itu Umno dan BN wajib bangkit perbetulkan kesilapan yang berlaku. Ia bukan musibah, ia satu pengajaran amat pahit untuk ditelan.
Cabaran dihadapi kepimpinan BN dan Umno amat getir. Dikalangan pengundi Melayu dan Bumiputera, kian ramai yang menuding jari kepadanya dengan tohmahan BN-Umno telah mengkhianati mereka. Dikalangan bukanMelayu dalam pelbagai parti komponen BN pula, mereka telah lama meninggalkan BN. Mereka menuduh Umno mengabaikan mereka. Mereka menyalahkan gejala kepimpinan songsang yang diamalkan oleh ramai pemimpin Umno.
Sayugia para pemimpin BN-Umno ingat, hanya sekitar 30 peratus sahaja Melayu dan Bumiputera yang menyokong Harapan, majoriti (tapi kurang 60 peratus) masih bersama mereka dalam BN. Selebihnya komited bersama Pas sebagai penyokong tegar.
Para pemimpin BN wajib kembali kepada semangat perjuangan asal semasa dalam Perikatan, tapi dalam order baru. Mereka adalah pemimpin rakyat dan rakyatlah punca amanah kepimpinan yang mereka pikul. Dikalangan komponen BN pula, mereka wajib pamerkan semangat setiakawan tinggi dan saling bantu-membantu. BN wajib dijenama semula dan diterima rakyat sebagai parti kemakmuran dan perpaduan. Agenda politik tersirat didalamnya.
Khusus kepada Umno, menjelang pemilihan pucuk kepimpinan yang bakal diadakan penghujung Jun ini, saki-baki pengundi yang masih menyokong mereka bukan hendak melihat proses peralihan pucuk pimpinan tetapi satu anjakan paradigma dan pengislahan yang benar-benar radikal dilakukan bagi meyakinkan mereka untuk kekal menyokong Umno. Suara tidak lebih dari 52 peratus pengundi Melayu dan Bumiputera yang masih setia besama mereka ini wajib didengar, bukan sekadar mendengar kelompok kecil ahli parti yang mengepong para pemimpinnya saja.
Dari desas-desus yang kian lantang, ramai dikalangan kepimpinan sedia ada dalam Umno tidak peka atau tidak menghiraukan pandangan para pengundi ini. Mereka rasa mereka popular, maka ingin terus menerajui Umno. Mereka silap.
Jika pemilihan kepimpinan Umno itu nanti hanya sekadar proses peralihan kepimpinan yang biasa saja, jangan menyesal jika saki-baki pengundi ini pula yang akan menghukum Umno buat selama-lamanya.
Pengundi kini sudah tidak tidak terikat dengan sentimen kepartian. Jika mereka berpendapat kepimpinan Umno syok sendiri, tiada sebab untuk mereka tidak berhijrah menyokong mana-mana parti komponen dalam Harapan.
Apatah lagi tarikan di pihak mereka terutamanya dari Bersatu amat kuat mengajak pengundi Melayu dan Bumiputera untuk bersama mereka bagi meningkatkan peratus sokongan pengundi Melayu dan Bumiputera didalam Harapan ke paras paling tidak 35 peratus. Jika itu terlaksana, Harapan akan raih undi popular melebihi 50 peratus.
Jika itu terjadi, sokongan Melayu kepada Umno-BN susut ke paras kurang 50 peratus. Setiap lima peratusa kemerosotan sokongan pengundi Melayu dan Bumiputera, Umno-BN terpaksa menagih sokongan undi bukanMelayu sebanyak 15 peratus, sesuatu yang mustahil dalam suasana semasa.
Mahu atau tidak, mereka yang ingin mempertahankan atau menegakkan semula Umno wajib mendengar nadi pengundi Melayu dan Bumiputera.
Secara ikhlasnya, rakyat semua kaum bukan hanya Melayu dan Bumiputera, tidak mahu lihat BN-Umno menjadi pembangkang yang lemah. Tatkala rakyat mahukan kerajaan Harapan yang lebih stabil pada masa yang sama mereka juga mahu BN berperanan sebagai pembangkang yang kuat dan berkredibiliti.
Suara rakyat sebagai pengundi yang cukup matang ialah mereka mahukan Kerajaan yang berintegriti dan pembangkang yang berkredibiliti.
Sayugia pemimpin Umno-BN kena ingat dan sedar, jika mereka terus bergelut dalam isu kepimpinan, bukan sahaja kepimpinan mereka yang merasa bahang atau terkesan dari kemelut mereka itu.
Lebih malang ialah teraju kepimpinan Melayu dan Bumiputera dalam pentadbiran dan dunia korporat kerajaan. Bukan Umno sebagai institusi politik Melayu sahaja yang akan terus terumbang-ambing tetapi lain-lain institusi kepentingan Melayu yang akan terlebih dahulu runtuh dek ledakan avalanche itu. Seandainya itu berulang, para pengundi Melayu dan Bumiputera akan membuat pilihan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment