La Roja perlu baiki kelemahan

Monday, June 25, 2018

La Roja perlu baiki kelemahan

La Roja perlu baiki kelemahan

PENGENDALI Sepanyol, Fernando Hierro mengakui pasukannya bernasib baik apabila berjaya bangkit mengikat Maghribi 2-2 menerusi bantuan sistem video bantuan pengadil (VAR) di Stadium Kaliningrad, awal pagi tadi.

Jaringan masa kecederaan daripada penyerang Iago Aspas melengkapkan aksi dramatik Kumpulan B yang menyaksikan La Roja unggul mendahului kumpulan selepas Iran mengikat Portugal 1-1 di Saransk.

Enggan nasib sama berulang, Hierro berharap pasukannya berusaha memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan berikutan juara dunia 2010 itu melepaskan lima gol sepanjang tiga aksi kumpulan.

“Saya harus mengakui kami bernasib baik kerana dapat menyudahkannya.

“Jelas, kami masih perlu menunjukkan peningkatan. Ini bukan permainan yang baik daripada Sepanyol kerana lima gol daripada tiga perlawanan adalah rekod yang tidak bagus.

"Kami tidak boleh membenarkan lawan mendapat banyak peluang. Sekiranya kami mahu mara ke tempat yang kami impikan, kami harus memperbetulkan beberapa kelemahan. Ada ruang untuk diperbaiki,” katanya.

Pada aksi itu, penyerang Maghribi, Khalid Boutaib pada awalnya mendahului sebelum Isco menyamakan kedudukan, berterima kasih kepada hantaran dilakukan Andres Iniesta.

Maghribi sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-81 menerusi tandukan pemain gantian, Youssef En-Nesyri seterusnya memberi bayangan kepada kekalahan pertama Sepanyol sejak Euro 2016.

Namun pemain gantian, Aspas menyamakan kedudukan pada masa tambahan selepas melihat kembali VAR sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik untuk menempah pertemuan dengan tuan rumah, Rusia.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment