Ku Li fikir umur, kesihatan jika mahu jadi Presiden Umno

Monday, June 11, 2018

Ku Li fikir umur, kesihatan jika mahu jadi Presiden Umno

Ku Li fikir umur, kesihatan jika mahu jadi Presiden Umno

KUALA LUMPUR - Veteran Umno, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah akan melakukan Solat Istikarah bagi mendapatkan petunjuk sama ada menerima atau menolak tawaran untuk bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu, 30 Jun nanti.

Beliau yang lebih mesra disapa Ku Li berkata, tawaran untuk merebut jawatan Presiden Umno telah dibincangkan bersama keluarganya dan bukan satu keputusan yang mudah untuk dibuat.

"Saya dah terima pandangan daripada keluarga, tapi saya tidak akan umum malam ini.

"Saya fikir dari segi umur, tetapi soalnya, adakah saya terdaya atau tidak terdaya untuk pergi ke 190 kawasan dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, saya akan lakukan Solat Istikarah untuk memikirkan tawaran ini," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh ketika soal jawab dalam Forum Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, di sini, malam ini.

Beliau bagaimanapun menyokong banyak pandangan bahawa jawatan itu perlu diisi oleh pemimpin muda bagi melicinkan urus tadbir terutama dalam memimpin negara.

[ARTIKEL BERKAITAN: Beri saya sedikit masa: Ku Li]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa saya kena merangkak jumpa Tun M?: Ku Li]

“Orang muda paling layak diangkat dan diberi tanggungjawab untuk memimpin negara. Saya ikhlas mahu melihat mereka naik kerana generasi sekarang harus memimpin generasi akan datang ,” katanya.

Pada majlis itu, lebih 200 penyokongnya hadir bagi mendengar penjelasan beliau dalam forum tersebut.

Majlis Tertinggi Umno menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan Umno dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri Umno bermula pada 19 Mei sehingga 10 Jun lalu.

Mesyuarat Umno di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat.

Setakat ini, hanya nama pemangku tugas Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disahkan bertanding untuk jawatan Presiden.

Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula mengesahkan tidak akan bertanding untuk mana-mana jawatan dalam parti itu.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment