Koleksi Petang Raya Bernard Chandran

Saturday, June 2, 2018

Koleksi Petang Raya Bernard Chandran

Koleksi Petang Raya Bernard Chandran

MELANGKAH ke hadapan dengan penuh keyakinan, itu konsep yang cuba ditekankan oleh pereka fesyen terkenal tanah air, Bernard Chandran dalam memberikan ilham pada koleksi rayanya tahun ini, iaitu Koleksi Petang Raya yang menginovasi rekaan terkini dengan memperincikan fesyen tahun 70-an dan 80-an.

Keunikan vintaj untuk baju kurung dan kebaya cuba dimodenkan dengan konsep glamourous yang memberi kesegaran pada fesyen pakaian tradisional tersebut yang masih tidak lapuk dek zaman.

Menurut Chandran, dia bangga dengan warisan dan budaya negara ini yang pada masa sama, dia suka meneroka trend baharu untuk mewujudkan inovasi baharu pada fesyen yang dihasilkan.

“Koleksi ini adalah tentang mengambil fesyen baju kurung yang bergaya kerana saya sentiasa percaya, wanita Malaysia boleh bergaya di samping mengekalkan sempadan budaya dan martabat kita," jelas Chandran.

Koleksi tersebut juga mengetengahkan pelbagai warna dan tekstur yang glamor untuk baju kurung dan kebaya yang dilihat dalam beberapa rekaan fesyen yang dipersembahkan.

Ia turut menggabungkan penggunaan ‘songket’, cetakan geometri dan bunga halus pada sifon, denim, renda, kasmir campuran tweed dan hiasan mewah termasuk kristal dan bulu.

Siluet dalam koleksi ini adalah tentang perkadaran, jumlah dan penempatan perhiasan. Glitter serta nada yang kaya termasuk hitam dan hijau zaitun dilihat menguasai koleksi, manakala emas dan gangsa berwarna cerah, cetakan berwarna-warni diselangi antara koleksi.

Menginovasi kurung dan kebaya dengan zaman moden, sememangnya usaha dan minat berterusan Chandran, di samping masih menjaga batas-batas agar ia kekal relevan dan kontemporari evolusi tahun demi tahun.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment