'Terima kasih YB'

Friday, June 1, 2018

'Terima kasih YB'

'Terima kasih YB'

BANDAR JENGKA - Persatuan Peniaga Pasar Karat (VM) Bandar Pusat Jengka di sini, menghargai komitmen Adun Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim yang turun padang melawat tapak perniagaan berkenaan.

Pengendali projek, Ariff Mohamad Yusoff berkata, ia susulan aduan  persatuan berhubung masalah pencahayaan, minggu lalu ke pejabat Adun itu.

“Kita usulkan perkara ini dah lebih enam bulan sejak sebelum PRU14 lagi. Tapi aduan kami sepi. Alhamdulillah kami dimaklumkan perkara ini telah diusulkan oleh YB  kepada Majlis Daerah Maran dan juga Pegawai Daerah sendiri.

“Kami bukan golongan peniaga yang berada nak pasang lampu sendiri. Buat masa ni kebanyakan peniaga guna lampu sendiri jenis boleh cas dan ada yang cuma bergantung kepada lampu jalan.

“Kalau dapat sport light atau lampu limpah, alangkah bagus sebab dah lebih sembilan bulan beroperasi dan jadi tarikan lebih 80 peniaga setiap Jumaat. Dari semasa ke semasa jumlah pengunjung juga meningkat,” katanya.

Ariff berkata, kewujudan Pasar karat Bandar Jengka diharapkan dapat memberikan persaingan yang sihat dari sudut ekonomi lebih 20,000 penduduk Dun Jengka.

Dalam pada itu katanya, sempena Aidilfitri ini, VM dirancang untuk beroperasi setiap malam bermula dua minggu akhir Ramadan sehingga malam, menjelang idilfitri, namun ia tertakluk kepada kelulusan pihak Majlis Daerah Maran.

“Ini berikutan sambutan penduduk dan permintaan peniaga itu sendiri yang berminat untuk meneruskan perniagaan setiap hari menjelang raya, berbanding seminggu sekali pada musim biasa.

“Sebelum ini VM beroperasi setiap Jumaat malam Sabtu bermula jam 8 malam. Bagaimana pun semua itu masih di peringkat perancangan” katanya.

Bagi peniaga, Wan Nuraisyah Sufian, 33, pemasangan lampu limpah boleh di manfaatkan lebih 50 peniaga yang mencari rezeki di situ.

“Saya sokong dan amat berharap pihak berkaitan dapat membantu memasang lampu di sini. Mudah untuk kami berniaga dan berurusan dengan pembeli.

"Berkenaan cadangan pembukaan setiap malam sampai malam raya pun saya sokong sebab tak perlu berpindah randah tempat niaga. Harap jadilah.

“Apatah lagi waktu bukan bulan puasa. Agak penat dan pendapatan juga sebenarnya bergantung kepada faktor jarak dan lokasi serta jumlah pengunjung,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment