Johor berkabung
JOHOR BAHRU: Bendera Johor, daerah dan persatuan diturunkan separuh tiang mulai hari ini hingga hari pemakaman susulan kemangkatan bonda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar iaitu Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah jam 7.55 malam tadi (waktu tempatan) di Hospital King Edward VII, London.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata semua masjid utama di negeri itu juga mengadakan majlis tahlil dan doa ke atas roh Almarhumah selepas Maghrib mulai hari ini dan pada hari dimakamkan.
"Kerabat Diraja yang didamping berkabung bermula tarikh ini kemudian tiga hari daripada dimakamkan jenazah Almarhumah manakala rakyat serta penduduk negeri ini berkabung pada tarikh dimakamkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan kemangkatan berkenaan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.
Abdul Rahim berkata, orang Melayu hendaklah memakai tanda perkabungan iaitu lilitan kain putih selebar 5 sentimeter (cm) pada songkok hitam manakala bagi kaum dan agama lain perlu memakai selilit kain hitam lebar 7.6 cm di lengan kiri atau bertali leher hitam.
Katanya, wanita Melayu pula perlu memakai tudung putih manakala wanita kaum lain memakai selilit kain hitam selebar lima cm di lengan kiri atau bertudung hitam.
"Mereka yang hadir pada upacara pemakamam pula perlu memakai baju Melayu Teluk Belanga serba putih berkain hitam berdagang luar dan berkabung untuk lelaki Melayu, manakala bagi lelaki lain bangsa hendaklah memakai 'lounge' suit hitam dan berkabung," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment