Hari Gawai simbol perpaduan 'Anak Sarawak'

Saturday, June 2, 2018

Hari Gawai simbol perpaduan 'Anak Sarawak'

Hari Gawai simbol perpaduan 'Anak Sarawak'

SELANGAU: Sambutan Hari Gawai bermula semalam dan hari ini menyaksikan masyarakat menyambutnya dengan penuh meriah dengan sanak-saudara mengunjungi rumah panjang keluarga terdekat dan sanak saudara mereka.

Tinjauan NSTP ke Rumah Panjang Rangkong, di sini memperlihatkan penduduk setempat meraikan sambutan perayaan itu dalam suasana meriah, sekali gus menjadi simbol keharmonian rakyat berbilang kaum di Sarawak.

Tuai Rumah Nyangkong Nyalau menjelaskan walaupun secara tradisinya sambutan itu diraikan masyarakat Dayak, namun di negeri ini, ia satu perayaan besar yang disambut oleh segenap lapisan masyarakat.

"Inilah keunikan di Sarawak, dengan kesemua perayaan kita raikan bersama dalam satu semangat harmoni dan konsep penyatuan," katanya.

Bagi penduduk, Leftenan Kolonel John Sembilan, Hari Gawai di rumah panjang berkenaan kali ini lebih meriah kerana ramai sanak-saudara pulang beraya.

"Pada masa inilah kami berkumpul beramai-ramai dan meraikan Gawai dalam satu keluarga besar di sini," katanya.

Bagi Daisy Bernard Betti pula, Hari Gawai sebagai platform menghimpunkan anggota keluarganya yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

"Kalau kita perhatikan keluarga saya sendiri ada Punjabi, Melanau, Bidayuh, Cina,Kadazan, semua keluarga dekat sini semua berbilang kaum. Kita dapat melihat satu toleransi walaupun dalam kepelbagaian dan perbezaan," katanya.

"Kita amat gembira merayakan Hari Gawai kerana ia mengikat silatulrahim antara semua. Perbezaan yang ada, termasuk perbezaan agama bukan satu halangan. Tetapi sesuatu keistimewaan yang patut dihargai dan diraikan," katanya.

Bagi Surinderpal Singh, seorang lelaki berbangsa Punjabi dari Perak, perayaan itu disambut keluarga isterinya yang disifatkan amat meriah dan penuh dengan ciri-ciri kebudayaan yang masih kukuh dipertahankan dalam kalangan masyarakat Dayak.

"Budaya kami memang amat jauh berbeza. Kita menyambutnya dengan semangat perpaduan, malah saya gembira melihat persefahaman yang amat baik antara semua kaum di sini," katanya yang turut terpilih membuat persembahan `Tarian Ngajat' di hadapan penduduk rumah panjang itu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment