Dua peniaga degil kena tindakan

Tuesday, June 12, 2018

Dua peniaga degil kena tindakan

Dua peniaga degil kena tindakan

BANDAR KUALA KANGSAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak mengambil tindakan terhadap dua peniaga di Ipoh kerana tidak menurunkan harga selepas GST sifar peratus bermula 1 Jun lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, peniaga tersebut diberikan notis untuk menurunkan harga mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Menurutnya, KPDNKK Perak akan melakukan siasatan berhubung harga barangan dijual termasuk siasatan terhadap stok barangan dimiliki dua peniaga berkenaan.

“Kegagalan peniaga menurunkan harga selepas GST sifar peratus boleh menyebabkan mereka dikompaun sehingga RM50,000 dan denda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

“Syarikat pula boleh dikompaun sehingga RM250,000 dan denda mahkamah sehingga RM500,000,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya Puasa 2018 di pasar besar Kuala Kangsar, semalam.

Beliau berkata, pihaknya telah memeriksa 1,870 premis melibatkan lebih 21,000 barangan berdaftar dengan GST di seluruh Perak bermula awal bulan ini.

“Majoriti peniaga telah menukar tanda harga barangan masing-masing. Bagi SKHMP pula, KPDNKK Perak memeriksa 839 buah premis di negeri ini.

“Seorang peniaga di Parit Buntar juga dikenakan kompaun RM100 kerana tidak meletakkan tanda harga merah jambu pada barangan perniagaannya,” ujarnya.

Shamsul Nizam berkata, kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal boleh dikompaun RM5,000 dan denda di mahkamah sehingga RM10,000.

Manakala, syarikat boleh dikompaun RM10,000 dan denda di mahkamah sehingga RM20,000 jika melakukan kesalahan tersebut.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment