CEP akan bentang cadangan pembaharuan subsidi bahan api

Tuesday, June 12, 2018

CEP akan bentang cadangan pembaharuan subsidi bahan api

CEP akan bentang cadangan pembaharuan subsidi bahan api

KUALA LUMPUR - Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) akan membentangkan cadangan subsidi bahan api kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir seawal-awalnya minggu ini.

Diketuai Menteri Kewangan sebanyak dua kali, Tun Daim Zainuddin, CEP setakat ini sudah menjalankan lebih 200 mesyuarat dengan pelbagai ketua agensi, syarikat dan individu sejak penubuhannya sebulan lepas, bagi mengkaji pelbagai isu, terutama mengenai subsidi bahan api, pemansuhan bayaran tol dan pemansuhan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan).

Beliau berkata mereka sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pemegang kepentingan yang berkaitan mengenai kaedah terbaik dalam melaksanakan perubahan subsidi bahan api sebelum membuat keputusan.

Orang kepercayaan Dr Mahathir itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut, namun menegaskan subsidi bahan api akan berbentuk subsidi bersasar.

Bercakap  kepada Bernama dalam wawancara eksklusif, Daim berkata CEP juga menyedari sepenuhnya impak kewangan ke atas pasaran akibat daripada pemansuhan bayaran tol.

“Walaupun kita mahu mengurangkan tol untuk rakyat, kita juga menyedari impak dalam pasaran jika tol dibatalkan dengan segera, katanya.

CEP sedang mengenal pasti pelbagai pilihan mengenai cara untuk menangani isu ini, berpandukan kepada prinsip bahawa keputusan yang dibuat akan berjalan secara berperingkat  dan berstruktur.

Ini akan memastikan keputusan akhir kelal akan adil kepada semua pemegang kepentingan.

“Setakat ini, maklum balas daripada rakyat sangat menggalakkan. Tidak perlu memansuhkan tol serta-merta, maksud saya mereka faham. Mereka tahu ia disebut dalam manifesto, sekarang realiti sudah diketahui, mereka memahami kedudukan kewangan dan masalahnya.

“Kami telah memikirkan semua perkara ini. Kami cuba lakukan mengikut kaedah ini sehingga semuanya kembali seimbang. Pasaran akan gembira, pemiliknya gembira dan pengguna juga gembira,” katanya.

Pemansuhan tol merupakan antara janji pilihan raya Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14.

Daim juga menjelaskan pengumuman untuk membatalkan dan mengkaji semula projek-projek mega tidak bermakna kerajaan mengalihkan tumpuan ekonomi.

Ia hanya didorong oleh hakikat bahawa beberapa projek ini tidak masuk akal.

Sebagai contoh, beliau berkata projek MRT memerlukan banyak wang.

“Pampasan  untuk tanah sahaja sudah tinggi. Dan ia hanya di KL, bagaimana dengan tempat lain?,” katanya.

Beliau berkata  ekonomi terus dipacu oleh permintaan dalam negeri, dengan perbelanjaan penggunaan swasta menyumbang 54 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Oleh itu, kerajaan hanya bertanggungjawab secara fiskal dalam perbelanjaan untuk mengurus kedudukan hutang fiskal, katanya.

“Projek yang memberi manfaat kepada rakyat perlu diteruskan, tetapi kita perlu mengkaji semua projek untuk memastikan keberkesanan kos dan tidak berlaku penyelewengan,” katanya.

Sementara itu, Daim juga menyatakan keyakinan bahawa hasil daripada pada rejim percukaian baharu serta penjimatan  daripada merasionalisasi perbelanjaan operasi, dapat mengurangkan kemungkinan kekurangan pendapatan daripada pengurangan GST.

Kerajaan juga melakukan pembaharuan untuk memastikan pembaziran dan kebocoran diminimumkan.

“Sejumlah RM43 bilion (pendapatan daripada GST) tidak termasuk bayaran balik. Pada tahun 80-an saya mahukan GST. Negara lain juga melaksanakan GST tetapi wang yang dikumpul kembali kepada rakyat. Di sini ia hanya pergi kepada BR1M.

“Sebab  itulah rakyat kecewa. Di sini GST dikenakan dari masa sebelum anda dilahirkan sehinggalah anda meninggal dunia, sedangkan, di Barat, GST menjaga anda sejak dilahirkan sehingga anda mati,” katanya.

CEP mengharapkan keyakinan pasaran kembali positif, kata Daim, kerana kerajaan telah mengulangi pendiriannya untuk telus, membanteras rasuah, menjalankan perbelanjaan fiskal yang berhemat dan menguruskan kedudukan hutang.

“Pelabur wajar menyambut baik langkah-langkah ini. Keyakinan mesti kembali, ia akan mengambil sedikit masa. Sekarang orang melihat apa yang akan dilakukan oleh kerajaan. Kerajaan mesti konsisten, pastikan semuanya dirancang dan dilaksanakan dengan betul,” kata Daim.

Pasaran, katanya akan sentiasa bertindak balas apabila terdapat sesuatu yang mereka tidak gembira.

“Kita perlu menjelaskan kepada mereka mengapa kita melakukan perkara-perkara tertentu. Akhirnya rakyat mesti menyokong apa yang anda lakukan, barulah ia akan berjaya,” katanya, mengakhiri wawancara. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment