Bekalan terbaik dari kampung

Tuesday, June 12, 2018

Bekalan terbaik dari kampung

Bekalan terbaik dari kampung

INSYA-ALLAH, lusa ini kita akan menyambut Aidilfitri. Barangkali ramai yang sudah pun bergerak ke kampung. Kita sebut sebagai balik kampung, bukannya pergi ke kampung. Kita kata balik, kerana ia bermaksud kita kembali ke tempat asal, tempat bermula ataupun ke pangkal jalan.

Bila kita mahu kembali ke tempat asal, ia melahirkan suatu perasaan yang indah kerana kampung halaman adalah tempat kelahiran, tempat membesar dan tempat bermain. Semuanya kita alami dari zaman kanak-kanak hingga ke remaja.

Pada usia kanak-kanak dan remaja iaitu di zaman persekolahan, kita tiada tanggungjawab. Tiada pun berfikir lama tentang masa depan. Apa yang kita lalui ialah zaman kegembiraan, zaman mencuba untuk memenuhi kehendak ingin tahu dan zaman kita belajar berkawan.

Pendek kata, bila ada banyak sekali kenangan yang indah, ia menjadi nostalgia apabila kita terkenangkan zaman itu. Dan, kita ingin kembali semula untuk tenggelam di zaman itu dengan pulang ke kampung.

Sesungguhnya ia adalah sesuatu yang amat baik untuk jiwa. Alam kampung yang lambat berubah seperti di kota seolah-olah membawa kita masuk ke dalam zon waktu. Ia memberikan kita rasa tenang, bahagia dan merehatkan. Justeru itu, pada cuti hari raya inilah juga peluang buat kita untuk memberi santapan pada jiwa sendiri.

Barangkali keadaan rumah tidak banyak beza. Mungkin bumbung biru dan bercat kuning cair di dindingnya itu masih juga begitu. Pohon-pohon kelapa masih menghiasi belakang rumah. Masih meliuk lentuk ditiup angin.

Langsir dan tingkapnya masih sama. Pokok-pokok bunga orkid dan kaktus masih ada di kiri kanan rumah. Rumput di halaman nampaknya baharu ditebas ayah. Bau asap rumputnya yang  terbakar sudah lama tidak kita hidu. Aha, ayam jiran sebelah rumah masih berkeliaran di depan rumah.

Senyuman ayah dengan kopiah sengetnya masih serupa. Dia sudah tua, sudah berkedut-kedut di pipi. Dahulu pun, dia sudah tua apabila kita berhijrah ke kota. Kini dia masih begitu, seolah-olah tidak lebih tua daripada dahulu.

Ramah emak pun sama. Tangannya yang tidak berhenti memasak untuk kita itu masih  terasa kasar tatkala kita menggenggamnya. Hangatnya pelukan emak masih serupa. Aduhai rindunya mendengar suara serak emak bertanya khabar sambil berbisik. Original berbanding suaranya yang setiap kali kita dengari melalui telefon.

Wajah kedua ibu bapalah yang menjadikan jiwa kita berlari ke zaman silam. Di hadapan mereka, kita ini  bukan bos, bukan ketua, bukan pegawai, bukan buruh atau warga kerja. Segala pangkat, kedudukan mahupun status kita hilang apabila kita berdepan dengan ibu bapa.

Kita ini tiada apa-apa di depan mereka. Jangan sembunyi apa-apa di depan mereka kerana mereka kenal kita luar dan dalam sebab mereka pernah melihat kita sejak bertelanjang lagi. Kita ini hanya seorang anak.

Lihatlah suasana rumah. Di ruang tamu di mana kita terbaring dengan adik-adik menonton kartun. Bilik tidur kita dahulu yang terkemas indah di mana di lantailah tempat kita berlingkar hingga kesiangan. Mungkin kita terjumpa baju T lama yang masih terlipat di almari.

Jenguklah ke bilik air tempat kita terkinja-kinja bila kesejukan setelah mandi. Juga memandang ke dapur, tempat kita makan minum. Mungkin cawan dan pinggan kegemaran masih ada di situ. Lihatlah ke luar jendela. Dapur rumah jiran masih kelihatan di celah-celah pokok bunga cina.

Pergilah pula ke bandar, dengan basikal yang kita guna untuk ke sekolah atau dengan motosikal kapcai ayah. Merayaulah ke bandar untuk meninjau ke kedai buku yang biasa kita kunjungi, melewati sekolah, balai raya dan masjid.

Apabila turun ke pekan, kita akan temui kawan-kawan lama sekolah yang turut pulang berhari raya dan kawan-kawan yang menjadi warga desa. Mungkin kita akan temui juga kenalan seperti cikgu, ustaz, ketua kampung,  polis, posmen, ahli bomba termasuk kawan-kawan ayah.

Kesemua pengalaman yang kita lalui ini pernah kita alami pada tahun lepas, malah pada tahun-tahun sebelum ini.

Kita lalui skrip yang sama yang dilakonkan oleh orang-orang yang sama, di mana kita adalah pelakon utamanya. Kita terhibur dan berasa bahagia kerana kita sebenarnya pulang sebab mahu recharge.

Untuk itu, kita perlu tinggalkan apa yang kita bawa dari bandar.  Ketepikan segala gajet dan teknologi yang akan menumpulkan perasaan kita.

Kita perlu menghirup kembali aura asal usul kita. Sesungguhnya itulah santapan jiwa yang tiada galang gantinya. Ia adalah bekalan semangat sekembalinya kita ke kota.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment