'Tayangan' letupan mercun, bunga api percuma

Sunday, February 18, 2018

'Tayangan' letupan mercun, bunga api percuma

'Tayangan' letupan mercun, bunga api percuma

KUALA LUMPUR - Deretan gerai menjual mercun di Jalan Mergastua, Kepong, di sini, terbakar dalam kejadian kira-kira jam 11 malam tadi.

Kejadian yang tidak membabitkan kemalangan jiwa itu dipercayai berpunca daripada percikan bunga api daripada salah sebuah gerai yang menjual mercun yang merebak ke lima gerai lain.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kejadian yang menyebabkan kerugian yang dianggarkan bernilai RM250,000 itu tidak mempunyai unsur jenayah.

"Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul mendapat maklumat deretan gerai menjual mercun dan bunga api di Jalan Mergastua yang dibuka di tepi jalan itu telah terbakar.

"Ketika tiba, pasukan bomba sedang menjalankan operasi memadamkan kebakaran dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan.

Munusamy berkata, kebakaran menyebabkan sebuah kereta Honda City, sebuah kereta Toyota Vios, sebuah motosikal Yamaha 135 LC, empat kedai mercun dan dua gerai cenderahati terbakar.

Katanya, memandangkan kes berkenaan tiada unsur jenayah, Kertas Siasatan Enkuiri Polis (KEP) dibuka sementara siasatan masih diteruskan termasuk mengambil keterangan saksi.

"Pihak bomba masih belum mengeluarkan laporan secara terperinci mengenai punca kebakaran, namun temubual dan percakapan pengadu sudah diambil termasuk beberapa orang saksi bebas," katanya.

Tambahnya, setakat ini tiada seorang pun saksi yang dikenal pasti boleh memberikan keterangan yang jelas mengenai kejadian. Berdasarkan pemerhatian yang dibuat dapati tiada CCTV di sekitar lokasi kejadian.

Video mengenai kejadian itu tular sejak malam tadi yang menunjukkan bunyi letupan mercun tanpa henti selain orang ramai dilihat panik dan melarikan diri daripada lokasi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment