'Selalu ibu tak begitu...'

Sunday, February 18, 2018

'Selalu ibu tak begitu...'

'Selalu ibu tak begitu...'

GERIK: Seorang daripada mangsa yang maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) tengah hari tadi, dikatakan berkelakuan pelik sejak seminggu lalu.

Muhd Rohaizad Azizan, 32, berkata tindakan ibunya, Wan Teh Abdul Aziz, 54, membungkus makanan untuk dibawanya pulang sejak seminggu lalu, dianggap ganjil kerana jarang dilakukan.

"Sejak seminggu lalu, setiap hari ibu bungkuskan makanan untuk saya bawa pulang. Jarang dia buat begitu dan itulah kenangan akhirnya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik, malam ini.

Wan Teh adalah antara empat mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 45.4, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat sini, tengah hari tadi.

Nahas membabitkan tiga kenderaan iaitu jenis Audi, Nissan Frontier dan Perodua Kenari.

Kemalangan jam 1 tengah hari itu turut mengorbankan adik bongsu Mohd Rohaizad iaitu Muhammad Khairul Khawrizmie Azizan, 17, serta dua mangsa yang menaiki Nissan Frontier.

Mohd Rohaizad berkata, ibu dan bapanya, Azizan Desa, 60, dan seorang lagi adiknya, Nurul Khairulnissa Azizan, 19, ke Kelantan bagi menghadiri kenduri kahwin dengan menaiki Audi dipandu bapanya.

"Kali terakhir saya berjumpa ibu dan adik bongsu pada Khamis lalu dan tidak sempat bertemu mereka sebelum bertolak ke Kelantan kerana saya bercuti bersama isteri dan anak.

"Saya menerima panggilan pada jam 2 petang tadi memaklumkan keluarga saya terbabit kemalangan sebelum bergegas ke Hospital Gerik dan tiba kira-kira jam 6 petang.

"Adik yang terselamat memberitahu ayah sedar sepanjang kejadian dan diberi ubat penenang kerana dipercayai mengalami pendarahan dalaman sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping," katanya

Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah berhampiran kediaman ibu bapanya di Bandar Perdana.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment