Wanita pekak, bisu hilang sejak seminggu lalu
PORT DICKSON - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Rumah Rakyat Kampung Permatang Pasir, Linggi di sini sejak 23 Januari lalu.
Hamidah Hassan,56, merupakan OKU pendengaran dan bisu disedari tiada di rumah sekitar jam 7.30 pagi oleh anak saudaranya, Norshafika Aziela Abdullah,23, pada Selasa lalu.
Norshafika berkata, dia risau kerana ibu saudaranya itu bukan sahaja tidak boleh bercakap dan mendengar, wanita itu juga tidak boleh membaca.
"Ditambah, makcik bukan berasal dari sini (Kampung Permatang Pasir), dia baru dua hari tinggal dengan saya.
"Sebelum ini makcik tinggal di kampung Lubok China, dengan ibu ayahnya tapi sejak empat tahun lalu selepas kedua-duanya meninggal dunia, dia berpindah tinggal secara bergilir di rumah adik-beradiknya di Kuala Lumpur," katanya.
Norshafika berkata, Hamidah keluar rumah dengan membawa dokumen pengenalan dirinya dan sedikit pakaian serta wang sekitar RM80 sahaja.
"Ini kali kedua makcik hilang dari rumah, kali pertama semasa dia tinggal di rumah adiknya di Ampang dan ditemui orang awam.
"Selepas insiden itu, saya bersetuju untuk menjaganya, sebab saya tak bekerja jadi bolehla temankan dia, tapi tak sangka selepas dua hari tinggal di sini, makcik sekali lagi menghilangkan diri," katanya.
Dia yang menyedari ibu saudaranya hilang apabila mendapati pintu belakang rumahnya terbuka.
"Masa tu pukul 5.30 pagi, saya bangun tengok makcik masih ada dalam bilik, sedang tidur, tapi pukl 7.30 pagi dia dah tak ada dalam bilik dan pintu belakang rumah terbuka.
"Saya cari merata tempat tapi makcik tak ada.
"Saya telefon dan mesej saudara-mara dan rakan-rakan di sini minta bantuan mereka kalau nampak makcik.
"Semasa pagi kejadian, orang kampung ada nampak seorang wanita seakan-akan makcik saya berpakaian baju T warna hitam, seluar coklat dan tudung warna gelap berjalan di Pekan Linggi, tapi
selepas disusul, tak jumpa," katanya.
Norshafika memberitahu, dia bersama saudaranya yang lain turut bertanyakan dengan pemandu bas dan teksi sambil menunjukkan gambar Hamidah, namun semuanya tak pernah lihat.
"Saudara-mara di Kampung Lubok China juga dah maklumkan makcik tak ada balik ke sana.
"Saya buntu nak cari di mana lagi, risau akan keselamatan dia," katanya.
Risau dengan keadaan itu, dia membuat laporan polis dan berharap orang ramai yang bertemu atau pernah melihat ibu saudaranya dalam tempoh seminggu ini agar segera menghubungi polis. berhampiran atau terus menghubunginya di talian 017 287 9031.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment