Wanita OKU guna lidah promosi produk keluaran keluarga

Tuesday, January 16, 2018

Wanita OKU guna lidah promosi produk keluaran keluarga

Wanita OKU guna lidah promosi produk keluaran keluarga

PENDANG: Nursamawati Mahmud tidaklah sempurna seperti wanita lain lantaran kecacatan fizikal dialaminya sejak berusia setahun.

Namun, siapa sangka wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 33 tahun itu yang banyak menghabiskan masa di rumahnya di Kampung Gelong Gajah di sini, mampu mengaplikasikan telefon pintarnya secara baik dengan hanya menggunakan lidah untuk bersosial dan berkomunikasi.

"Saya bukan sahaja melayari Facebook, Instagram dan WeChat untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan, namun kelebihan dimiliki saya gunakan untuk memperkenalkan produk sos dan kicap jenama Mahmudah keluaran keluarga kami bagi menambah pendapatan keluarga," katanya ketika ditemui di sini.

Nursamawati berkata, usahanya itu akhirnya berjaya meningkatkan jualan produk ibunya kepada 4,000 botol sebulan sejak 2015, apabila mendapat permintaan yang menggalakkan.

Nursamawati, anak sulung daripada lima beradik disahkan mengalami kecacatan fizikal sejak berusia setahun sehingga menyebabkan tangan dan kakinya mengerekot dan tidak mampu bergerak.

Keadaan itu menyebabkan dia sentiasa bergantung kepada ibunya, Saudah Shaari, 55, dan bapanya, Mahmud Hussin, 60 untuk menguruskan dirinya seharian.

"Saya wujudkan akaun saya dengan nama Kak Long Nursamawati untuk mengakses laman sosial. Pada mulanya rasa sakit lidah tapi lama kelamaan dah biasa dan semakin cepat saya menaip di papan kekunci dan memuat naik gambar sos dan kicap serta menerima tempahan," katanya yang kini memiliki lebih 1,000 kenalan di Facebook.

Semangat yang ada pada Nursamawati turut dipuji kenalan OKU yang lain dan sering memberi dorongan di atas usahanya itu.

Sementara itu, Saudah berkata, Nursamawati yang dikenali dengan Kak Long adalah seorang yang sangat cekal dan tabah walaupun menyedari dirinya serba kekurangan.

"Kak Long sentiasa mahu melihat perniagaan saya berjaya. Walaupun jualan kami sedikit terjejas tahun ini akibat persaingan, dia tidak berputus asa dan sentiasa dengan telefon pintar untuk mempromosikannya," katanya.


Orang Kelainan Upaya (OKU) Nursamawati Mahmud, 33, menggunakan lidahnya untuk bersosial dan berkomunikasi di laman sesawang di rumahnya di Kampung Gelong Gajah, Pendang. - Foto BERNAMA

Kak Long juga sentiasa menjadi rujukan adik-adiknya dalam pelajaran walaupun tidak pernah bersekolah sejak kecil, kata Saudah.

"Kak Long seorang yang rajin membaca buku adik-adiknya sehingga dia pandai. Itu kelebihan dia yang orang lain tak ada. Kami bersyukur dikurniakan anak seperti Kak Long yang sentiasa menunjukkan sikap bertanggungjawab kepada keluarga," katanya.

- BERNAMA



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment