Wakaf MAIK Muamalat mudahkan sumbangan dana
KOTA BHARU: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi mewujudkan Wakaf MAIK Muamalat sebagai saluran orang ramai menyumbang kepada dana wakaf.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, berkata Wakaf MAIK Muamalat itu diwujudkan bagi mengutip dan menguruskan dana wakaf untuk kemajuan ummah.
Beliau berkata, wakaf itu turut mendapat sokongan Affin Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad di bawah seliaan Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM).
"Semua bank terbabit akan bekerjasama mengutip dana wakaf daripada orang ramai yang diurus Jawatankuasa Pengurusan Bersama antara Bank Muamalat dengan MAIK.
"Jawatankuasa ini akan merangka dan melaksanakan aktiviti wakaf terutama sektor pendidikan dan kesihatan, selain pelaburan yang difikirkan sesuai bagi menjana dana wakaf sedia ada.
"Dengan adanya perkhidmatan ini, kita harap matlamat kerajaan meningkatkan tahap pendidikan dan kesihatan rakyat dapat dicapai seterusnya membawa ke arah menjana ekonomi negara yang mapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Menandatangani Perjanjian Wakaf MAIK Muamalat di sini, hari ini.
Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan menyempurnakan majlis itu dan menyaksikan MoU yang ditandatangani antara Mohd Redza Shah dengan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Azlan Abd Hadi.
Pada majlis itu, Bank Muamalat turut menyampaikan sumbangan wakaf kepada MAIK berjumlah RM500,000.
Mohd Redza Shah berkata, Bank Muamalat sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran untuk menjana kutipan wakaf sehingga dapat dikembangkan, seiring pengalaman pihaknya memulakan perkhidmatan itu sejak 2012.
"Dengan sistem patuh syariah dan laporan yang telus, kami akan berusaha meningkatkan keyakinan masyarakat untuk menyumbang kepada Wakaf MAIK Muamalat," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment