UUM bangunkan industri herba
SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan membangunkan produk berasaskan herba dan tumbuh-tumbuhan liar bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.
Tanaman itu diusahakan menerusi anak syarikatnya, Sintok Agro Sdn Bhd (Sintok Agro) di hutan Sintok seluas 121 hektar.
Pengerusi Lembaga Pengarah Sintok Agro, Datuk Hashim Suboh, berkata projek itu akan dijayakan melalui kerjasama DXN Holdings Berhad (DXN) dengan pembahagian keuntungan 70 peratus DXN dan Sintok Agro (30 peratus).
Beliau berkata, DXN mempunyai pengalaman 24 tahun dalam industri itu, selain mempunyai pasaran produk ganoderma bernilai lebih RM1 billion di hampir 100 negara.
"Kita akan mengambil kesempatan ini untuk mengenal pasti herba dan sayur-sayuran liar yang boleh dijadikan produk komersial untuk dipasarkan tanpa merosakkan hutan.
"Pada masa sama, syarikat terbabit akan turut menanam dan membiak spesies cendawan selain ganoderma, iaitu kulat sisir dan susu harimau," katanya.
Hashim berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sintok Agro yang diwakili beliau dan DXN diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Lim Siow Jin di di sini hari ini.
Sementara itu, Siow Jin berkata, pihaknya akan mengenal pasti spesies tumbuh-tumbuhan hutan yang berpotensi untuk diproses dan dijadikan produk.
Katanya, beliau yakin pasaran herba dan tumbuh-tumbuhan liar dari hutan tempatan mempunyai nilai tinggi dan akan mempunyai nilai pasaran berbillion ringgit sekiranya dikomersialkan.
"Syarikat kami akan menggunakan konsep pertanian semula jadi dan tidak akan ada satu pun pokok yang akan ditebang. Walaupun pokok herba serta tumbuh-tumbuhan liar ini akan dituai, dalam masa yang sama kami akan menanam dan melakukan proses pembiakan tumbuh-tumbuhan berkenaan termasuk spesies cendawan.
"Dalam tempoh tiga bulan akan datang, kami akan mengenal pasti spesies tumbuh-tumbuhan yang sesuai untuk dijadikan produk sama ada dalam bentuk makanan sebagai ulam-ulaman atau diproses menjadi produk makanan tambahan dan kosmetik," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, produk berasaskan herba dan tumbuh-tumbuhan liar itu dijangka akan dapat dihasilkan hujung tahun ini selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.
Selain itu, katanya, kawasan seluas 121 hektar hutan Sintok itu turut akan dijadikan sebagai tarikan pelancongan dan pusat latihan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment