Trek joging untuk penduduk Tamparuli
TAMPARULI: Penduduk daerah ini mendapat kemudahan baharu untuk aktiviti riadah apabila trek joging sepanjang kira-kira 800 meter dibina berhampiran tebing Sungai Tamparuli.
Difahamkan, kemudahan pertama seumpama itu di daerah ini, dibina dengan kos lebih RM50,000 bagi menggantikan kompleks sukan Tamparuli, yang dipindahkan ke lokasi baharu di Tuaran.
Trek joging konkrit yang mula digunakan lebih sebulan lalu itu memberi keselesaan kepada orang ramai beriadah, selain menjadi daya tarikan baharu pengunjung ke pekan itu.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, berkata kemudahan itu disediakan kerajaan bukan sahaja bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan, malah membolehkan masyarakat menjalani aktiviti kecergasan.
"Kerajaan mendengar kehendak penduduk dengan memastikan mereka dapat menikmati kemudahan asas dan selesa digunakan.
"Justeru, saya berharap kewujudan trek joging di Tamparuli ini dimanfaatkan oleh orang ramai dalam melakukan aktiviti riadah, sekali gus menjaga kecergasan tubuh supaya sentiasa kekal sihat," katanya kepada BH.
Jahid berkata, Tamparuli sepatutnya memperoleh kemudahan kompleks sukan, namun ketiadaan lokasi sesuai bagi menempatkan kemudahan itu, maka pembinaannya pindahkan ke Tuaran.
"Namun, saya berharap kompleks sukan masih dapat dibina di Tamparuli beberapa tahun akan datang demi memenuhi keperluan penduduk setempat," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment