Stesen KTMB makin sesak

Wednesday, January 10, 2018

Stesen KTMB makin sesak

Stesen KTMB makin sesak

SYARIKAT Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) digesa menyegerakan pembinaan lot parkir tambahan bagi menampung keperluan parkir kereta pengguna di stesen KTMB cawangan Parit Buntar.

Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain berkata, gesaan itu dibuat susulan stesen KTMB yang menyediakan kemudahan perkhidmatan ETS dan komuter dari Kuala Lumpur ke utara semenanjung kini semakin sesak dan sering dipenuhi pengguna hampir setiap hari.

Menurutnya, keadaan lot parkir kenderaan di kawasan stesen itu juga sering sesak dan dipenuhi kenderaan pengguna kemudahan KTMB, menyebabkan ada pengguna terpaksa meletakkan kenderaan sejauh lebih satu kilometer dari jarak stesen.

“Isu kekurangan lot parkir kenderaan ini difahamkan dihadapi pengguna perkhidmatan KTMB sejak lebih setahun lalu.

“Agak mengejutkan stesen KTMB cawangan Parit Buntar kini beroperasi sangat sibuk berbanding stesen lain sekali gus melihatkan kepentingan stesen itu dinaik taraf bagi memberi kemudahan lebih selesa kepada penumpang.

“Isu ini sudah dikemukakan saya dalam persidangan Dun sebelum ini dan saya harap KTMB bersama kerajaan negeri dapat menyelesaikannya,” katanya kepada media sewaktu mengadakan lawatan pemantauan keadaan parkir kenderaan di stesen KTMB cawangan Parit Buntar di sini, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Pas kawasan Parit Buntar, Abdul Bahrin Md Desa, Penyelaras Parlimen Parit Buntar, Ahmad Azhar Shahrin dan kepimpinan Dewan Pemuda Pas kawasan Parit Buntar.

Abu Bakar berkata, penyediaan segera lot parkir tambahan stesen KTMB adalah satu keperluan penting memandangkan ramai penduduk Parlimen Parit Buntar yang menggunakan kemudahan komuter dan ETS untuk ke tempat kerja masing-masing.

Menurutnya, inisiatif menaik taraf kemudahan stesen KTMB cawangan Parit Buntar dilihat mampu membantu menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakannya sekali gus menambah populasi penduduk di sini pada masa hadapan.

“Ketika ini, bukan sahaja waktu hujung minggu berlaku kesesakan parkir kenderaan, malah masalah sama turut berlaku pada hari biasa.

“Pas kawasan menyokong keberkesanan inisiatif kemudahan pengangkutan awam disediakan KTMB, cuma kami minta alternatif kemudahan tambahan kepada pengguna turut ditekankan bagi memastikan keselesaan kepada mereka,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment