SPRM perlu teliti laporan berita media bebas, lebih telus
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang meminta agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak hanya berlandaskan laporan berita di media pro BN semata-mata dalam membuat kenyataan berhubung projek mega yang melibatkan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki sepatutnya meneliti laporan berita di portal berita lain yang lebih neutral dan bebas bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap siasatan projek tersebut.
"Saya harap SPRM jangan hanya berharap sepenuhnya dengan laporan media BN. Mereka (SPRM) juga perlu menyemak media-media lain yang lebih bebas dan telus.
"Ia bagi mengelakkan persepsi negatif yang mendakwa siasatan SPRM ke atas projek terowong dasar laut dan tiga lebuhraya dibuat berdasarkan laporan palsu dalam media BN," katanya menerusi sebuah kenyataan medianya tadi.
Tambahnya, kerajaan negeri tidak akan terkesan dengan taktik buli politik yang dimainkan BN dalam menggagalkan projek mega bernilai RM6.3 bilion itu.
Guan Eng berkata, tiada apa yang perlu disorokkan kerajaan negeri kerana projek tersebut diadakan secara tender terbuka, di mana pemilihan kontraktor dibuat oleh Jabatan Perolehan Negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment