Sembunyi dadah pada alas kaki

SANDAKAN: Polis menahan seorang pemandu selepas didapati membawa 152 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM12,000 dalam pemeriksaan di Kilometer 52, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menjalankan sekatan jalan raya, sebelum menahan sebuah kereta jenis PROTON Iswara dipandu suspek.
Pemeriksaan lanjut menemui tiga paket plastik jernih berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis Methamphetamine atau syabu yang disembunyikan dalam beg diletakkan pada alas kaki tempat duduk penumpang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek, berkata hasil pemeriksaan air kencing suspek berumur 39 tahun dari Lahad Datu itu, mendapati dia negatif dadah.
Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Tangkapan ke atas suspek dipercayai pengedar dadah adalah hasil maklumat orang awam," katanya.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan kerana memiliki 67 gram syabu dianggar bernilai RM5,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Mangkalinau Batu 3, di sini, Isnin lalu.
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada jam 1.30 pagi dan hasil pemeriksaan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment