'Tolong-tolong, rumah hendak tenggelam'
PEKAN: Seramai 65 penduduk daripada 14 keluarga di Kampung Temai di sini termasuk warga emas lumpuh dan Orang Kurang Upaya (OKU) diselamatkan selepas terkandas hampir 10 jam apabila perkampungan itu dinaiki air secara mendadak, semalam.
Difahamkan, air mendadak naik sejak jam 8 pagi yang menyebabkan rumah mereka hampir ditenggelami ketika operasi menyelamat bermula jam 4 petang.
Operasi menyelamat dilancarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1KAD) Kem Batu 10, Kuantan serta polis selepas menerima maklumat mengenai ada penduduk terkandas kira-kira jam 3 petang semalam.
Rumah pertama disinggahi pasukan berkenaan adalah milik Fatimah Mat Dun, 70, yang lumpuh dan wanita itu terus menjerit meminta tolong sebaik menyedari kehadiran anggota JBPM, penduduk kampung dan wakil media yang menaiki bot aluminium.
Mahu ke tempat selamat
"Tolong-tolong... mak (merujuk kepada dirinya) hendak pergi ke tempat selamat... rumah nak tenggelam," jerit warga emas itu yang kemudiannya diselamatkan dengan dibawa menaiki bot tetapi suaminya tidak berpindah kerana mahu mengemas barang.
Perjalanan diteruskan ke rumah keluarga seorang OKU, Zuzana Mat Jaih, 24, yang mana usaha untuk mengangkatnya ke dalam bot mengalami kesukaran kerana wanita itu mempunyai berat badan mencecah 100 kilogram (kg).
Beberapa ahli keluarga Zuzana turut diangkut secara bergilir selepas wanita itu dibawa ke darat.
Operasi kemudiannya diteruskan ke rumah penduduk lain sehingga kesemuanya dibawa ke jalan utama terletak kira-kira satu kilometer (KM) melalui jalan berhampiran ladang sawit.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Wan Shamsul Effendi Wan Mahmud, berkata operasi membabitkan lapan anggota dan sebuah lori tiga tan itu selesai kira-kira 7.30 malam tadi dan kesemua mangsa banjir dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Temai.
Laluan terputus dinaiki air
"Kita melancarkan operasi menyelamat ini selepas mendapat maklumat daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Temai kira-kira jam 3 petang yang memaklumkan ada penduduk terkandas selepas kampung mereka dinaiki air dan laluan turut terputus.
"Semuanya berjalan lancar dan kita berterima kasih kepada anggota askar, polis dan penduduk kampung yang membantu melancarkan operasi," katanya.
Sementara itu, banjir yang melanda Pahang, Terengganu, Johor dan Sabah sejak beberapa hari lalu, beransur pulih dengan bilangan mangsa yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berjumlah kira-kira 11,000 orang.
Pulau Pinang dan Perak pula dilanda banjir kilat semalam, yang turut menyebabkan penduduk di beberapa kawasan dipindahkan. Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka dibenarkan pulang beberapa jam kemudian.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment