PRU-14: MIC mahu tanding kerusi tradisi

Monday, January 15, 2018

PRU-14: MIC mahu tanding kerusi tradisi

PRU-14: MIC mahu tanding kerusi tradisi

KUALA LUMPUR: MIC kekal dengan pendirian bertanding sembilan kerusi Parlimen, termasuk Cameron Highlands dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presidennya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pendirian itu mengurangkan kontroversi berhubung kerusi Cameron Highlands yang dikatakan ingin ditandingi parti komponen Barisan Nasional (BN) lain.

"MIC berharap kepemimpinan BN pusat juga berpendirian sama kerana kerusi Cameron Highlands sudah lama ditandingi MIC dan memang itu peruntukan kerusi dari BN sebelum ini.

"Dari awal lagi, pendirian MIC adalah Cameron Highlands kerusi kuota kami," katanya pada Majlis Sambutan Hari Ponggal MIC peringkat kebangsaan di Ibu Pejabat MIC di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Ketua Wanita MIC, Datuk M Mohana; Ketua Pemudanya, Datuk C Sivarraajh dan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan.

Sementara itu, Dr S Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan, berkata sambutan Hari Ponggal memberi makna besar kepada masyarakat India dan menjadi sebahagian budaya masyarakat berkenaan.

"Meskipun penduduk India hanya 2.2 juta orang atau mewakili 7.1 peratus rakyat negara ini, perpaduan menjadi inti pati penting dan kita tidak boleh berpecah belah. Adalah mustahak kita mengeratkan perpaduan," katanya.

Dari aspek politik, beliau berkata, walaupun peratusan pengundi India kecil, ia mempunyai pengaruh politik yang besar dan boleh menjadi penentu kemenangan di antara 45 hingga 55 kerusi Parlimen pada PRU nanti.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment