Perak ikat pemain Azkals, Bahadoran, Luiz

Wednesday, January 10, 2018

Perak ikat pemain Azkals, Bahadoran, Luiz

Perak ikat pemain Azkals, Bahadoran, Luiz

KETUA pasukan skuad kebangsaan Filipina (Azkals), Misagh Bahadoran dan pemain kelahiran Brazil, Wander Luiz sah menjadi milik pasukan Liga Super Perak bagi saingan kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2018 yang bermula 3 Februari ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, pemain tersebut sah menjadi milik ‘The Bos Gaurus’ selepas mendapat persetujuan daripada pengendali pasukan, Mehmet Durakovic.

Menurutnya, pengalaman yang ada pada kedua-dua pemain itu juga boleh dijadikan sebagai faktor untuk membantu Perak memenangi salah satu piala sepertimana yang dihasratkan.

"Bahadoran merupakan kapten skuad Azkals sejak lima tahun lalu sehingga kini selain pernah beraksi dalam saingan Piala AFC ketika mewakili Kelab Global Cebu FC dalam liga Filipina.

"Luiz pula merupakan bekas pemain Kelantan bagi musim 2016 dan pada musim lalu beliau beraksi dalam Liga Profesional Arab Saudi untuk kelab Al-Raed," katanya dalam sidang media di Menara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Perak turut mengekalkan khidmat dua pemain import dari Brazil iaitu Leandro Dos Santos Olivera dan Gilmar Jose Da Silva Filho.

Mengulas mengenai satu kuota import yang masih kosong, Abdul Puhat berkata Mehmet  sedang meneliti beberapa calon dan segala urusan berkaitan perkara itu akan diselesaikan dalam masa empat atau lima hari lagi.

Sementara itu, Mehmet berkata beliau berpuas hati dengan aksi dipamerkan kedua-dua pemain import berkenaan terutama ketika aksi persahabatan menentang Felcra FC pada 7 Januari lalu dan MOF FC, semalam.

Katanya, walaupun percaya kepada impak yang bakal dipamerkan, namun beliau mahu para penyokong memberi masa untuk kedua-dua pemain import itu menyesuaikan diri dengan strategi dan keadaan sekeliling.

Mehmet, yang merupakan bekas pemain dan ketua jurulatih Selangor, juga yakin Perak akan berjaya memenangi sekurang-kurangnya satu piala dengan gabungan barisan pemain lama dan baharu yang menyarung jersi pasukan.

"Aksi pada musim ini lebih kompetitif di tambah dengan setiap pasukan cuba memancing pemain-pemain terbaik, jadi akan menambahkan lagi saingan. Namun, saya percaya kita mampu bersaing dan melakar kejutan untuk memenangi salah satu piala yang diidamkan," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment