Pekarangan masjid banjir, solat Jumaat seperti biasa
BEAUFORT: "Walaupun pekarangan masjid digenangi banjir, namun kami bersyukur kerana kawasan ruang solat tidak dimasuki air dan membolehkan penduduk menunaikan solat Jumaat," kata Wasli Wahab, 60.
Pesara kerajaan itu adalah sebahagian jemaah di Masjid Jamek Kampung Brunei di Kampung Brunei, Membakut, di sini, iaitu antara kampung yang terjejas akibat banjir di daerah kecil ini susulan limpahan Sungai Membakut sejak tiga hari lalu.
Tinjauan BH mendapati, pekarangan masjid itu dinaiki air sehingga melebihi paras buku lali, namun kawasan ruang solat tidak terjejas kerana kedudukannya lebih tinggi.
Wasli berkata, penduduk kampung itu sudah biasa menghadapi banjir saban tahun, namun kali ini agak teruk dengan kawasan rumahnya dinaiki air sehingga hampir paras lutut.
"Barangan makanan di rumah sudah habis, namun sudah empat hari saya tidak dapat ke pekan kerana jalan terputus akibat dinaiki air. Malah, kereta saya juga terperangkap tidak jauh dari rumah akibat ditenggelami banjir.
"'Kami hanya mampu menunggu bantuan barangan makanan dan keperluan lain dibawa masuk ke kampung ini," katanya yang tinggal bersama 15 ahli keluarga.
Sementara itu, bacaan paras Sungai Membakut menunjukkan penurunan iaitu 6.04 meter pada jam 2 petang tadi, berbanding 6.13 meter pada jam 7 pagi.
Banjir di daerah kecil Membakut berlarutan sejak tiga hari lalu dengan setakat jam 2 petang tadi, seramai 637 orang daripada 221 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment