MB nafi potong peruntukan ADUN PAS
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan Kerajaan Selangor menyekat peruntukan kepada wakil rakyat PAS di negeri itu.
Beliau sebaliknya berkata, kelewatan itu mungkin berpunca dari masalah teknikal dan beliau berjanji untuk menyelesaikannya.
"Ia adalah khabar angin (yang menyatakan Kerajaan PKR Selangor memotong peruntukan). Macam mana awak boleh buat dakwaan berdasarkan khabar angin?
"Ia tidak betul. Baru dua minggu masuk tahun baharu, sudah tentu ada mekanisma dari Perbendaharaan ke Pejabat Daerah kerana pengawal kewangan adalah pegawai daerah.
"Perbendaharaan perlu menyalurkan peruntukan itu ke Pejabat Daerah sebelum pegawai daerah menyalurkan kepada wakil rakyat," katanya kepada pemberita, hari ini.
Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Selangor dipotong oleh Kerajaan Negeri bermula tahun ini.
Beliau berkata, peruntukan itu adalah kepada ADUN, termasuk wakil rakyat PAS, ahli kelab penyokong kerajaan (BBC) dan penyelaras DUN serta kawasan Parlimen.
"Ia untuk semua ADUN, kita tidak bezakan antara wakil rakyat PAS dan Pakatan Harapan. (Dakwaan) itu tidak betul. Saya menjangkakan penyaluran peruntukan itu akan diadakan segera untuk kita bekerja di bawah," katanya.
Sementara itu, ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dari PAS, ketika dihubungi, berkata setakat ini pihaknya tidak mendengar sebarang arahan sedemikian.
"Setakat ini ia hanya khabar angin," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment