Lopes kecewakan pasukan lama

Tuesday, January 16, 2018

Lopes kecewakan pasukan lama

Lopes kecewakan pasukan lama

KELANTAN menafikan impian Persija Jakarta untuk meraih gelaran kejuaraan Piala Super Boost Sports Fix apabila membenam lawan 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Jaringan tunggal pemain import dari Brazil, Bruno Lopes yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke 73 sudah cukup untuk memastikan kemenangan mutlak The Red Warriors (TRW).

Mempertaruhkan empat pemain import, Cassio Francisco De, Do Dong Hyun, Ferdinand Alfred Sinaga dan Margaro Lima Gomes, manakala Bruno Lopes diletakkan sebagai pemain simpanan, Kelantan dilihat turun dengan kesebelasan utama yang dianggap terbaik.

Dibimbing dibimbing Sathit Bensoh, TRW tidak menunggu lama untuk memberi tekanan kepada pertahanan lawan apabila memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-3.

Pemain import dari Indonesia, Ferdinand Sinaga yang mengambil tugas bagaimanapun gagal memanfaatkan peluang tersebut apabila sepakannya tersasar jauh dari gawang Persija Jakarta FC yang dikawal Dary Ono.

Persija Jakarta FC turut menguji penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi melalui rembatan Rizki Ramdani pada minit ke-7, namun bekas penjaga gol kebangsaan itu tidak berdepan masalah menafikan percubaan tersebut.

Rembatan lemah Sinaga pada minit ke-19 terus menghampakan kira-kira 2,000 penyokong setia TRW yang hadir memberikan sokongan apabila jauh melencong keluar.

Khairul Fahmi sekali lagi mempamerkan ketangkasannya apabila menafikan dua percubaan berbahaya dari Marko Simic pada minit ke 34 dan 43, untuk memastikan kedua-dua pasukan beredar ke bilik persalinan dengan kedudukan seri tanpa jaringan.

Memasuki babak kedua, Kelantan membuat dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan Fakhrul Zaman serta Mohd Nor Farhan, dan memasukkan Lopes dan Danial Asyraf untuk menambahkan sengat di bahagian serangan dan sayap kanan.

Ternyata kemasukan dua pemain tersebut merubah corak permainan TRW yang dilihat lebih garang berbanding separuh masa pertama dengan gerakan banyak bermula dari sayap kanan serta kiri.

Ketangkasan Khairul Fahmi terus dipamerkan penjaga gol tersebut apabila berjaya menyelamatkan gawang dari dibolosi Marko Simic.

Kesilapan benteng pertahanan Persija Jakarta FC yang mengasari Sinaga dalam kotak penalti membawa padah apabila pengadil perlawanan Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan, pada minit ke-73.

Lopes yang diamanahkan mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Dary Ono untuk memastikan stadium bergema dengan sorakan penyokong Kelantan.

Kekebalan benteng pertahanan dan ketangkasan Apex yang menafikan beberapa percubaan berbahaya lawan berbaki 10 minit memastikan kemenangan mutlak Kelantan.

Kelantan bakal beraksi pada perlawanan kedua menentang Ratchaburi (Thailand), Sabtu ini hanya memerlukan keputusan seri untuk menjulang Piala Super Boost Sports Fix.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment