Latihan global untuk pentadbir sekolah
KLANG: Sebanyak 24 sekolah di Kuala Selangor, Klang, Sentul dan Petaling terpilih menyertai program Global School Leader (GSL) Malaysia.
Program rintis itu membabitkan seramai 75 pentadbir sekolah terdiri daripada pengetua, guru besar dan penolong kanan yang akan menyertai 11 sesi bengkel kepimpinan selama empat jam setiap bulan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, GSL Malaysia menggabungkan pengetahuan dan kemahiran terbaik pakar antarabangsa serta tempatan dalam memberi latihan untuk pentadbir.
"Kita akui bahawa seseorang pentadbir sekolah yang berkesan dapat meningkatkan aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pencapaian cemerlang pelajar.
"Inisiatif GSL Malaysia adalah menambah baik kewibawaan mereka sebagai pemimpin dan meninggalkan impak positif dengan kaedah baharu melalui program ini, seterusnya memantapkan kecemerlangan prestasi sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Rintis GSL Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Idaman, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GSL, Sameer Sampat dan Pengarah GSL Malaysia, Cheryl Ann Fernando.
Terdahulu, Cheryl Ann dalam ucapannya, berkata program itu disesuai berdasarkan program kepemimpinan sekolah yang berjaya di India, namun modulnya diubah sedikit mengikut acuan arus pendidikan negara dan akan dijalankan selama dua tahun.
"Inisiatif GSL Malaysia bagi memberi idea dan strategi kepada pemimpin sekolah untuk menambah baik aspek PdP murid serta guru.
"Program satu strategi atau pembaharuan yang boleh dilaksanakan pemimpin sekolah membabitkan kecerdasan emosi serta kemahiran interpersonal yang bukan saja boleh digunakan ketika di sekolah, sebaliknya sepanjang hayat," katanya.
GSL Malaysia ialah program kerjasama FrogAsia yang turut memfokuskan kursus kepemimpinan menggunakan teknologi dalam kelas dan pengurusan sekolah.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment