Kuda ceriakan 'pekan koboi'

Sunday, January 14, 2018

Kuda ceriakan 'pekan koboi'

Kuda ceriakan 'pekan koboi'

KUCHING: Wakil rakyat di kawasan Bau dicadang membekalkan kuda untuk dipelihara di pekan Siniawan sebagai daya tarikan baharu pengunjung ke pekan kecil itu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, cadangan untuk menempatkan kuda itu hadir selepas beliau melawat ke pekan warisan berkenaan, yang terletak tidak jauh dari pinggir bandar raya Kuching, baru-baru ini.

"Kita mahu pengunjung terutamanya pelancong asing yang datang ke bandar raya Kuching dibawa ke Siniawan.

"Jadi, saya berbincang dengan beberapa wakil rakyat di kawasan Bau mengenai daya tarikan tambahan yang perlu ada di pekan lama itu," katanya di ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Jalan Kumpang, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 3, merangkumi Serembu, Mambong, Tarat,Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja.

Pekan Siniawan sebelum ini digelar sebagai 'pekan koboi' kerana suasananya yang suram dengan deretan bangunan usang yang dibina pada zaman pemerintahan Brooke.

Bagaimanapun, keadaan pekan itu kini berubah sejak kerajaan negeri membangunkan semula dan menjadikannya sebagai destinasi pelancongan baharu Sarawak.

Berikutan itu, ramai peminat muzik country dan penggemar pakaian ala koboi menjadikan pekan itu sebagai tumpuan mereka untuk berkumpul setiap minggu bagi mengembalikan nostalgia `pekan koboi' Siniawan.

"Sebab itu, kita perlu letakkan kuda di pekan ini, sesuai dengan namanya sebagai pekan koboi. Ia tentunya bersesuaian dengan irama muzik yang dimainkan serta pakaian ala koboi yang dipakai ramai pengujung ke pekan itu," katanya.

Selain pekan Siniawan, Abang Johari berkata, beliau juga melihat potensi besar enam kawasan taman negara di sekitar Bau, Lundu dan Sematan untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment