Kesan buruk menahan bersin hanyalah kes terpencil

Tuesday, January 16, 2018

Kesan buruk menahan bersin hanyalah kes terpencil

Kesan buruk menahan bersin hanyalah kes terpencil

KUALA LUMPUR: Menahan bersin bukanlah faktor utama yang membawa kesan buruk yang boleh mengganggu sistem pendengaran seperti telinga, tekak atau menyebabkan darah dalam otak pecah.

Pakar Perunding Bedah ortorinolaringologi, Hospital Pakar KPJ Selangor, Dr Mohd Zabri Affendi Muhamad, berkata bersin hanyalah tindak balas yang normal bagi semua individu dan tidak menjadi penyebab utama kepada masalah kesihatan yang di sebut.

"Bersin ini adalah mekanisme pertahanan diri untuk mengeluarkan bahan iritasi dari hidung yang menghalang daripada memasuki paru-paru seterusnya mengganggu organ lain dalam badan.

"Sebenarnya tiada apa kelebihannya daripada fungsi bersin itu selain daripada apa yang saya katakan itu. Cuma menahan bersin ini biasanya mendatangkan gangguan kepada individu itu lebih lagi bagi mereka yang menghidap sinus atau resdung yang tidak selesa bagi mereka.

"Apapun kita tidak digalakkan untuk menahan bersin kerana ia adalah tindakan 'refleks' yang biasa bagi manusia yang normal untuk menghalang daripada benda asing memasuki tubuh badan kita.


SHAH ALAM 03 JANUARI 2018. Pakar Perunding Otorinolaringologi dan Pembedahan Kepala dan Leher Hospital Pakar KPJ Selangor, Dr Mohd Zabri Affendi Muhamad menunjukkan gambar rajah mengenai punca penyakit resdung di Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam. STR/FAIZ ANUAR (FOR HALINA, BERITA HARIAN)FAIZ ANUAR

"Dari segi menahan bersin boleh mengganggu gegendang telinga dan tekak itu hanyalah kes terpencil dan bukan penyebab utama. Kes umpama itu sangat jarang berlaku tetapi terpulang kepada daya ketahanan seseorang individu," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Sebelum ini sekumpulan penyelidik perubatan dari Perancis menerbitkan kajian jurnal perubatan BMJ Case Reports, mendedahkan menahan bersin boleh menyebabkan tekak, gegendang telinga atau saluran darah dalam otak pecah.

Seorang lelaki berusia 34 tahun muncul di pusat kecemasan sebuah hospital di Leicester, England, baru-baru ini dengan bengkak leher dan dalam kesakitan amat sangat akibat berpunca daripada menahan bersin.

Pesakit menjelaskan rasa meletup pada lehernya selepas cuba menahan bersin dengan memicit hidung dan menutup mulut," kata doktor menerangkan secara terperinci dalam kajian diterbitkan jurnal perubatan BMJ Case Reports.

Info: Anatomi sinus paranasal

Sinus atau rongga pada tulang muka terbahagi kepada empat ruang, mengelilingi kaviti hidung dikenali sebagai:

1. Sinus maksila (di bawah mata di kedua-dua ruang pipi).

2. Sinus fronta (di atas mata pada kedua-dua dahi).

3. Sinus Ethmoidal (antara mata)

4. Sinus sphenoidal (di belakang pangkal hidung).


SHAH ALAM 03 JANUARI 2018. Pakar Perunding Otorinolaringologi dan Pembedahan Kepala dan Leher Hospital Pakar KPJ Selangor, Dr Mohd Zabri Affendi Muhamad membuat imbasan serta pemeriksaan pesakit resdung di Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam. STR/FAIZ ANUAR (FOR HALINA, BERITA HARIAN)FAIZ ANUAR

Gejala Resdung

  • Hidung sering tersumbat.
  • Lendir dari hidung dan tekak.

    Sakit atau rasa berat muka terutama kawasan di antara mata.

    Sakit tekak berpanjangan, berulang.

    Demam atau rasa tidak sedap badan berpanjangan.

    Gejala alahan hidung seperti bersin dan gatal hidung.

Komplikasi resdung

  • Jarang mengancam nyawa.
  • Resdung kronik mengganggu kehidupan, komunikasi, kualiti kerja, tidur (dengkur yang kuat).
  • Selesema berpanjangan serta hidung tersumbat mengganggu pernafasan serta berkait rapat dengan mereka yang mengalami serangan asma.
  • Polip atau ketumbuhan dalam hidung memerlukan pembedahan kerana ubatan biasa sukar menyembuhkan.


sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment