Gerak kerja MIC Cameron Highlands tumpu pengurusan mikro

Monday, January 29, 2018

Gerak kerja MIC Cameron Highlands tumpu pengurusan mikro

Gerak kerja MIC Cameron Highlands tumpu pengurusan mikro

CAMERON HIGHLANDS - Gerak kerja jentera MIC Cameron Highlands kini semakin rancak dengan lebih memfokuskan kepada pengurusan mikro iaitu mendekati pengundi dengan lebih telus, menerima kritikan dan pada masa yang sama mencari puncanya.

Penyelaras MIC Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh berkata, bagi mempertahankan 'status quo' kerusi Parlimen ini yang dipegang MIC selama ini, pihaknya yakin dengan strategi persiapan itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di mana gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) Wanita MIC Cameron Highlands serta Pemuda MIC kini memasuki 60 peratus.

รข€œDaripada pengalaman beberapa pilihan raya umum yang lepas, pengurusan mikro yang memberi tumpuan kepada Pusat Daerah Mengundi (PDM) ternyata membuahkan hasil yang lebih baik berbanding melakukan pengurusan secara makro atau keseluruhan.

"Kita kini berusaha sedaya upaya memperhebatkan lagi gerak kerja ini terutama di peringkat PDM kerana masih terdapat 40 peratus yang belum didekati, bagi mempertahankan kemenangan Parlimen ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat BN Parlimen Cameron Highlands yang dipengerusikan Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Tanah Rata di sini lewat petang ini.

Sebelum ini, kerusi Parlimen itu menjadi tumpuan berikutan perebutan di antara MIC dan Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas yang telah menguar-uarkan dirinya sebagai calon BN kerusi yang sama pada PRU14 akan datang.

Justeru, Sivarraajh yang juga Ketua Pemuda MIC akan memastikan MIC Bahagian Cameron Highlands berusaha sedaya upaya meningkatkan sokongan pengundi di sini kerana BN pada PRU13 hanya menang majoriti tipis.

"Adalah menjadi KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) saya untuk memenangi Parlimen ini dengan majoriti lebih besar sekaligus menghadiahkan kemenangan ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai intipati mesyuarat tersebut, Sivarraajh berkata hanya satu agenda yang dibincangkan iaitu menjurus ke arah persediaan dan gerak kerja parti-parti komponen BN dalam menghadapi PRU14.

"Kita tidak membincangkan soal calon, tetapi agendanya hanya untuk memperkasakan jentera parti dan lebih banyak program akan dibuat selepas ini.

Pada PRU13, MIC memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands menerusi Datuk Seri G Palanivel dengan majoriti 462 undi menewaskan empat pesaing. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment