Geng Bayu tersungkur
KLANG: Polis Klang Selatan menumpaskan kumpulan pecah rumah dan kedai di sekitar Bukit Tinggi, di sini, dengan penahanan empat lelaki dikenali sebagai Geng Bayu di tiga lokasi berasingan, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar berkata, dalam tangkapan pertama, dua suspek berusia 30 dan 38 tahun ditahan di Flat Bukit Tinggi 2 di sini pada jam 5.30 pagi.
"Selepas membuat pemeriksaan terhadap dua lelaki terbabit, kami berjaya merampas sekeping surat pajak gadai daripada lelaki yang berusia 38 tahun itu.
"Susulan itu, pihak kami berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun pada jam 6.15 pagi tadi berpandukan daripada dua suspek itu," katanya dalam satu kenyataan.
Shamsul Amar berkata, pihaknya berjaya menemukan beberapa barangan yang dipercayai hasil daripada kejadian pecah rumah dan kedai yang dilakukan.
"Kami berjaya menemui peti sejuk, kipas meja, mesin basuh, televisyen masing-masing satu unit, dua unit pembesar suara dan tiga bilah parang," katanya.
Shamsul Amar berkata, dalam tangkapan ketiga, pihaknya berjaya menahan seorang lagi lelaki yang berusia 46 tahun pada jam 6.45 pagi semalam dan merampas sebuah televisyen.
Katanya, geng berkenaan dipercayai sudah bergiat aktif sekitar empat bulan lalu selain ia mempunyai rekod lampau.
"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti pembabitan kesemua suspek dalam kes pecah rumah dan juga kedai di sekitar daerah ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment