Kuantan : Seorang guru tuisyen didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap dua tuduhan melakukan penipuan bagi mendapatkan lesen memandu pada November tahun lalu.
Mohd Nortarmizi Misrun, 31, dari Taman Putra Sri Mahkota, Jalan Gambang di sini, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Di Mahkamah Majistret 1, tertuduh yang masih bujang didakwa mendorong Muhammad Asyraf Nazairi, 19, menyerahkan wang tunai RM170 bagi mendapatkan lesen memandu B2 dan D yang tidak wujud di Maktab Adabi, Batu 3 di sini, antara 1 hingga 30 November tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan di depan Majistret Nurunaim Abdullah.
Pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 namun tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan perlu menyara bapa dan adiknya yang masih belajar dengan pendapatan RM1,200 sebulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamim dan menetapkan 29 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Di Mahkamah Majistret 2 pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Muhammad Jafni Daniel Jailani, 21, membabitkan jumlah RM100 di lokasi dan tarikh sama.
Majistret Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan turut menetapkan 29 Januari ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan.
sumber: hmetro
0 comments:
Post a Comment