BN komited bantu rakyat di kawasan pembangkang

Monday, January 29, 2018

BN komited bantu rakyat di kawasan pembangkang

BN komited bantu rakyat di kawasan pembangkang

BATU GAJAH: Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited membantu meringankan beban rakyat tanpa mengira sama ada mereka tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen diwakili pembangkang.

Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah, Datuk Mohd Yusoff Kassim, berkata walaupun Parlimen Batu Gajah dan tiga DUN di bawahnya dimenangi pembangkang, BN tidak pernah menyisihkan rakyat yang memerlukan bantuan di kawasan itu.

"Inilah realitinya, wakil rakyat pembangkang hanya 'duduk' tanpa berbuat apa-apa. BN terus turun padang membantu memberi kemudahan kepada rakyat.

"BN ada prinsip, jika mahu bantu jangan sesekali menyusahkan rakyat. Kita bantu setiap masa, berbeza dengan pembangkang kerana mereka hanya melakukan serangan terhadap apa sahaja tindakan BN sama ada memburuk-burukkan langkah kerajaan atau dasar yang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Baucar Kelengkapan Persekolahan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Peringkat Parlimen Batu Gajah di sini, hari ini.

Seramai 300 pelajar asnaf dalam Parlimen Batu Gajah menerima sumbangan bantuan persekolahan berupa pakaian, beg sekolah dan kasut untuk sesi persekolahan tahun ini.

Mohd Yusoff berkata, keikhlasan BN menghulurkan bantuan tidak perlu dipersoalkan kerana dibuat demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, tindakan pemimpin pembangkang setempat yang lebih mengutamakan 'serangan' terhadap kerajaan sehingga mengabaikan kebajikan rakyat, perlu dikecam.

"Mereka bukan sahaja tidak turun padang, malah lebih seronok menghentam kerajaan daripada membantu rakyat.

"Ini perlu diambil iktibar oleh semua pihak bagi mengelakkan masa depan yang suram kerana sikap pemimpin tidak bertanggungjawab," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment