Ahmad Zahid terima kunjungan Yoko Kamikawa

Tuesday, January 16, 2018

Ahmad Zahid terima kunjungan Yoko Kamikawa

Ahmad Zahid terima kunjungan Yoko Kamikawa

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Kehakiman Jepun Yoko Kamikawa di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam perjumpan kira-kira 40 minit itu, Ahmad Zahid dan Kamikawa membincangkan isu-isu seperti hubungan dua hala Malaysia-Jepun, perdangangan dan pelaburan selain isu keselamatan termasuk keganasan dan Jepun memaklumkan berminat dengan program deradikalisasi Malaysia.

Kamikawa juga menyampaikan undangan kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri untuk Kongres Ke-14 PBB mengenai Pencegahan Jenayah dan Hukuman Jenayah yang akan diadakan di Jepun pada 2020.

Jepun turut mengundang Peguam Negara ke Kongrestersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena kunjungan hormat itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia menghargai kehadiran secara terus menerus para pelabur Jepun yang merupakan antara sumber utama pelaburan langsung asingdalam sektor pembuatan.

Bagi tahun 2016, Jepun adalah rakan dagang Malaysia yang keempat terbesar dan Malaysia adalah rakan dagang Jepun yang ke-10 terbesar dengan jumlah dagangan dua hala pada 2016 adalah sebanyak RM120.26 bilion (US$ 28.98 bilion), katanya.

Untuk tahun lepas, dalam tempoh Januari hingga Julai,  jumlah dagangan adalah sebanyak RM80.28 bilion (US$ 18.35 bilion), peningkatan 17.9 peratus bagi tempoh yang sama untuk tahun 2016.

“Jumlah pelaburan pada 2016 adalah RM1.9 bilion (US$0.4 bilion) dengan 53 projek dan menghasilkan 4,392 peluang pekerjaan.

“Malaysia percaya bahawa perdagangan dua hala akan terus berkembang di masa depan dengan pelbagai peluang yang diwujudkan oleh kedua-dua negara terutama dengan pelanjutan  Dasar Pandang ke Timur,” katanya.

Mengenai hubungan dua hala Malaysia-Jepun, Ahmad Zahid berkata kedua-dua negara telah bersetuju untuk mempertingkatkan hubungan yang sedia terjalin ke tahap Momentum Perkongsian Strategik.

Beliau berkata hubungan erat antara dua negara diteruskan dengan pertukaran lawatan yang kerap di pelbagai peringkat antara Malaysia dan Jepun.

Beliau berkata Malaysia dan Jepun menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun lepas.

Lawatan peringkat tertinggi terakhir dari Malaysia ke Jepun adalah lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 hingga 17  November 2016 manakala lawatan peringkat tertinggi terakhir dari Jepun ke Malaysia adalah lawatan rasmi Putera Mahkota Jepun, Putera Mahkota Naruhita dari 13 hingga 17 April tahun lepas.

Ahmad Zahid juga mengadakan lawatan kerja ke Jepun pada 29 Mei hingga 2 Jun tahun 2016.

Kamikawa dilantik sebagai Menteri Kehakiman Jepun pada Ogos tahun lepas dan beliau dikekalkan jawatan itu selepas Perdana Menteri Jepuh Shinzo Abe memenangi pilihan raya umum Jepun pada Oktober 2017. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment