'Bersuntil' sambil berkempen cuit hati penduduk
RANAU: 'Bersuntil' atau menyelitkan gumpalan daun tembakau di celah gusi atau bibir sangat sinonim dengan budaya memakan sirih yang masih diamalkan masyarakat Dusun, khususnya wanita di daerah ini.
Apa yang menarik, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Datuk Masidi Manjun, tidak ketinggalan menyelitkan 'suntil' ketika berkempen di beberapa pusat daerah mengundi (PDM) di kawasannya.
Memandangkan budaya itu bukan amalan biasa golongan lelaki, gelagat Masidi 'bersuntil' mencuit hati penduduk, malah 'aksinya' sambil dikelilingi wanita Dusun 'bersuntil' di PDM Kampung Rondogung, di sini, semalam sempat dirakam lensa kamera jurugambar NSTP.
Itu antara kelebihan anak jati Dusun Ranau itu yang tidak lupa budaya tradisi masyarakatnya, malah sempat berkongsi kaitan tembakau atau 'sigup' dalam kehidupan masyarakat Dusun khususnya di daerah ini.
"Iti nopoh sigup nga ie minamasi di tokou (tembakaulah yang menghidupkan kita)," katanya dalam bahasa Dusun merujuk kepentingan tanaman tembakau yang menjadi dagangan utama masyarakat Dusun daerah ini suatu ketika dahulu.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, masyarakat Dusun Ranau dulu sanggup menempuh perjalanan jauh yang mengambil masa empat hari untuk menjual atau menukar tembakau dengan produk lain di Kota Belud.
Masidi yang berkempen dalam bahasa Dusun di kawasannya menekankan bahawa BN menumpukan kawasan 'putih' sebagai keutamaan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Kita sedar dulu kita menumpukan kawasan kelabu atau hitam sebelum beralih ke kawasan putih tetapi akhirnya keputusan tidak memberangsangkan. Jadi, lebih baik kita tumpu kawasan selamat sebelum beralih ke lokasi lain," katanya.
Katanya, masyarakat Dusun perlu bersatu dalam mengukuhkan kedudukan BN supaya dapat meneruskan pembangunan yang dibawa kerajaan demi masa depan rakyat negeri ini.
Masidi berdepan saingan empat penjuru dengan calon pembangkang dari Parti Kerjasama Anak Negeri (ANAK NEGERI), Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT) dan PKR.
Pada PRU-13 lalu, Masidi yang juga Ketua UMNO Ranau mempertahankan kerusi DUN Karanaan dengan majoriti 3,500 undi.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment