Taufek faham keperitan rakyat

Tuesday, May 1, 2018

Taufek faham keperitan rakyat

Taufek faham keperitan rakyat

MOHAMAD Taufek Abd Ghani bukan satu nama asing di Paroi, Negeri Sembilan, memandangkan pernah menggalas tugas selaku wakil rakyat di Dun berkenaan selama sepenggal selepas menang PRU12 di bawah tiket Pas.

Masyarakat sering menggambarkannya sebagai pemimpin berjiwa besar, namun cukup merendah diri serta amat memahami keperitan rakyat, ekoran pengalaman getir ditempuh dalam arena politik.

Maka tidak hairanlah  gelaran ‘Yang Berhormat’ terus ‘melekat’ pada dirinya sampai sekarang, walaupun gagal mempertahankan kerusi terbabit lima tahun lalu ketika berdepan lawan, Mohd Ghazali Abd Wahid.

Kini beliau kembali sebagai  pencabar pada PRU14, tetapi dengan platform berbeza berbanding dua edisi terdahulu iaitu sebagai calon Harapan Negeri Sembilan dari Amanah berlatarkan logo PKR.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian bersama Mohamad Taufek menelusuri suka-duka dialami sepanjang bergelar ahli politik di negeri ini.

Difahamkan tuan mempunyai pekerjaan yang baik, sebelum meletak jawatan dan beri tumpuan sepenuh masa pada politik?

Mula-mula saya kerja di sebuah syarikat tekstil di Melaka selama tiga tahun. Kemudian, saya dapat tawaran kerja di kilang Samsung di Kawasan Perindustrian Taman Tuanku Ja’afar. Bertugas di situ hampir 16 tahun.

Jawatan terakhir saya sebagai jurutera kanan bahagian pemeriksaan kualiti. Masa tu, gaji pun dah hampir cecah lima angka dan tinggal selangkah lagi untuk jadi pengurus dan sebagainya. Senang kata, dah masuk dalam zon selesa.

Kewujudan Pusat Dakwah Islamiah di Paroi merupakan salah satu usaha untuk menyuburkan Islam di Negeri Sembilan

Tapi penglibatan dalam politik ni menuntut pengorbanan. Sebab tu saya letak jawatan pada 2005, untuk jadi setiausaha kerja parti.

Bagi saya, kena ada individu bertugas sepenuh masa agar dapat bergerak lebih agresif dan terancang.

Bagaimana keadaan diri dan keluarga ketika fasa perubahan yang disifatkan cukup drastik?

Memang perit bila gaji dah tinggal tiga angka masa bergantung pada elaun. Tapi mujur isteri kerja sebagai pendidik, dapat juga bantu saya walaupun tak tinggi mana sebab baru bertugas.

Waktu tu dah ada empat anak. Sulung tu kembar belajar dalam darjah lima, manakala anak ketiga baru nak masuk darjah satu dan bongsu pula sekitar tiga tahun. Banyak juga komitmen kena tanggung.

Cabaran datang dari segi fizikal dan mental. Tiba hujung bulan, kadang-kadang terpaksa cari sumber kewangan lain untuk bertahan macam pecahkan tabung dan pinjam duit raya anak-anak.

Ada sekali tu teringin makan di kedai, konon nak ubah selera. Terpaksa cari duit celah kerusi kereta, sebab bajet tak cukup. Tapi bagi saya, semua tu jadi sejarah berharga.

Bukan saja dapat didik erti ketabahan pada isteri dan anak-anak, malah dah bentuk saya sekeluarga untuk lebih mudah memahami dan menyelami kesusahan orang lain.

Khabarnya isteri pemangkin semangat untuk terus bertahan dalam perjuangan parti?

Cabaran masa jadi wakil rakyat pun tak kurang hebatnya akibat kekangan pengalaman, kewangan dan sebagainya. Termasuk  sekatan daripada pihak lain.

Walau bagaimanapun, kita dah cuba yang terbaik.

Selain sokongan sahabat terutama di peringkat Rembau, isteri sekali lagi jadi penyelamat. Dia sanggup beri kad ATMnya pada saya untuk menampung perbelanjaan di Dun Paroi.

Saya tak pernah ceritakan perkara ni pada orang lain. Tapi saya nak cakap, bahawa saya kenang segala jasa mereka selama ni terutama sumbangan isteri.

Saya mohon semoga ALLAH berikan kebaikan pada mereka semua.

Berbalik PRU14, perancangan sekiranya diberikan mandat dan kepercayaan sekali lagi untuk berkhidmat di Dun Paroi?

Antaranya untuk beri tumpuan pada anak muda memandangkan sekitar 40 peratus penduduk di Dun Paroi merupakan golongan tu, sama ada masih bujang atau dah berkahwin.

Kita perlu sediakan bengkel latihan, perniagaan dan kemudahan pinjaman secara mikro untuk memulakan bisnes. Kita juga akan mudahkan proses dapatkan lesen dan tempat berniaga.

Seterusnya sokongan terhadap penglibatan mereka dalam sukan, memandangkan boleh dijadikan sumber pendapatan yang baik pada masa kini misalnya bola sepak dan badminton.

Pada masa sama, mereka yang terlibat dengan masalah sosial pula tak sepatutnya dilupakan. Kelompok ni juga perlu diberi perhatian sewajarnya.

BIODATA CALON N25 PAROI

Nama penuh: Mohamad Taufek Abd Ghani

Calon: N.25 Dun Paroi (P.131 Parlimen Rembau)

Usia: 49 tahun

Tempat lahir: Layang-Layang, Johor

Asal: Kampung Pulau Bintongan, Rembau

Nama isteri: Mahani Musa

Pendidikan tertinggi: Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Biokimia, Universiti Kebangsaan Malaysia

Jawatan terkini (kerjaya): Perunding Kewangan dan Takaful

Jawatan terkini (politik): Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan dan Naib Pengerusi Harapan Negeri Sembilan

Pengalaman (politik): Adun Paroi (2008 - 2013)



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment