Realiti @ retorik agenda islamisasi
KEMENANGAN Pakatan Harapan (Harapan) dalam menubuhkan kerajaan di Putrajaya sepatutnya memberi satu lembaran baharu kepada agenda islamisasi di Malaysia.
Apa yang berlaku adalah ketidaktentuan sama ada agenda islamisasi ini dapat diteruskan atau tidak. Sarjana sains politik suka melihat gambaran situasi politik yang berlaku ke atas masyarakat dalam keadaan hitam atau putih.
Ini bermakna adakah kemenangan Harapan melambangkan kemenangan puak liberal ke atas puak konservatif.
Jika ini benar, adakah kedudukan dan kedaulatan Islam terjamin. Benarkah Perkara 3(1) tidak dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan dan mampu dipinda tanpa memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja Melayu.
Keme-nangan puak liberal tidak sepatutnya meliberalkan kehidupan kaum Muslimin di Malaysia.
Ini boleh dilihat terdapat pihak tertentu ingin menghapuskan sekolah tahfiz dan lain-lain sistem pendidikan supaya negara ini kembali kepada sistem pendidikan tahun 60-an dan 70-an.
Sebelum pengenalan Akta Pendidikan 1976, sistem pendidikan kita masih lagi berkiblatkan kepada Barat dan bukan mengikut acuan budaya pendidikan kebangsaan kita.
Selepas pengenalan Akta Pendidikan, kesemua sistem pendidikan sekolah diselaraskan mengikut dasar Pendidikan Kebangsaan dengan sedikit kelonggaran ke atas silibus subjek tertentu yang menjadi teras sekolah tersebut.
Contohnya, jika sekolah tahfiz diberikan kelonggaran untuk pengamalan teras silibus tahfiz tetapi perlu mengikuti kehendak dasar pendidikan kebangsaan.
Begitu juga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil perlu mengikuti teras dasar pendidikan kebangsaan iaitu nilai pembentukan bangsa Malaysia walaupun diberikan kebebasan dalam silibus teras bahasa Mandarin atau Tamil. Situasi ini akhirnya menjadikan anak-anak yang lahir selepas 1976 mampu bersatu dengan idea gagasan bangsa Malaysia.
Maka tidak menghairankan apabila kerencaman politik yang berlaku hari ini adalah disebabkan lahirnya generasi yang merentasi sempadan kaum bersatu memilih Harapan dalam PRU14.
Maka tidak wajar untuk mempertikaikan siapa yang berhak menjadi Menteri Pendidikan. Dan tidak wajar juga untuk mengusulkan supaya memansuhkan agama daripada Kad Pengenalan Malaysia. Kedua-dua usul ini perlu dilihat dari perspektif teras pembentukan kontrak sosial negara ini.
Walaupun perjanjian kontrak sosial bukan satu perjanjian hitam putih tetapi merupakan asas pembentukan negara ini sejak kemerdekaan.
Apakah Kerajaan baharu mahukan prosedur menghendaki sesiapa yang mahu meninggalkan Islam untuk menyediakan dokumentasi bagi membuktikan mereka sudah tidak lagi mengamalkan Islam dan berniat keluar agama Islam. Maka di mana tanggungjawab sebuah kerajaan Islam yang diuar-uarkan oleh Harapan.
Benarkah Harapan tidak ada satu mekanisme yang dapat membantu mereka yang sudah hilang arah dalam jalan kebenaran Islam untuk kembali kepada Islam. Jika begitu situasinya maka masa akan datang lebih ramai anak muda berketurunan Islam boleh mengaku niatnya untuk meninggalkan Islam kerana tidak lagi mengamalkan keislamannya.
Untuk insan bernama Islam, soal akidah amat bernilai daripada pandangan duniawi. Perlu diingatkan, majoriti yang menyokong Harapan ingin melihat keadilan ditegakkan demi kepentingan penduduk negara ini.
Adakah keadilan ini hanya berpihak kepada pihak-pihak tertentu yang tidak mewakili suara keseluruhan masyarakat negara ini.
Suara-suara jelas kedengaran untuk membuat beberapa pindaan Perlembagaan di atas nama pembaharuan institusi. Adakah institusi yang ada di negara ini tidak boleh melakukan penambahbaikan bagi memperbaiki perkhidmatan mereka.
Sebaliknya atas alasan apakah yang memerlukan satu pembaharuan drastik. Di manakah rasionalnya untuk melakukan pembaharuan institusi yang dimaksudkan tersebut supaya tidak mewakili agenda pihak tertentu.
Gagasan idea reformasi perlu juga mengakui kesinambungan daripada pentadbiran institusi terdahulu.
Bukan semua institusi perlu diperbaharui tanpa mengambil kira sensitiviti majoriti masyarakat negara ini. Sokongan rakyat mampu berubah jika majoriti rakyat negara ini bersatu andai kata sensitiviti agama dan institusi tertentu diteruskan.
Sepatutnya Harapan memerlukan suara yang mendamaikan, meraikan dialog, menyemarakkan persefahaman dan budaya saling menghormati dan mengiktiraf bagi memperkukuhkan perpaduan dan penyatuan rakyat negara ini.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment