Pemberian bantuan khas Aidilfitri diharap diteruskan

Sunday, May 27, 2018

Pemberian bantuan khas Aidilfitri diharap diteruskan

Pemberian bantuan khas Aidilfitri diharap diteruskan

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor diharap dapat meneruskan pemberian Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1,000 sempena sambutan Aidilfitri untuk penjawat awam Johor untuk tahun ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ia demi kebajikan seluruh penjawat awam yang telah berkorban untuk kemajuan negeri ini.

“Walaupun pengumuman ini dibuat sebelum pembentukan kerajaan yang baharu namun sudah pasti ianya telah mengambil kira kedudukan kewangan negeri Johor yang stabil ketika itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Khairul Faizi berkata, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani telah membuat pengumuman rasmi bahawa seramai 19,105 penjawat awam negeri ini, mendapat bantuan khas itu pada 2 Mei lalu.

Katanya, keputusan untuk memberi bantuan khas tersebut telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bilangan Perkara-Perkara Lain, pada 14 Mac 2018 yang lalu.

“Jumlah yang diberikan ini sama seperti yang diterima oleh penjawat awam negeri Johor pada tahun 2017, satu kali ganda yang diterima pada tahun 2016.

“Sudah pasti sumbangan ini akan dapat membantu meringankan kakitangan kerajaan Johor yang akan berhadapan dengan Aidilfitri tidak lama lagi dengan kos barang yang semakin meningkat naik,” katanya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian memberitahu kepada media mengenai pemberian bantuan khas tersebut akan dikaji terlebih dahulu ketika hadir di suatu majlis di Taman Daya, di sini.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment